Politik takhta dan kuasa

Politik takhta dan kuasa

Politik kenegaraan Melayu memerikan kepandaian ilmu pentadbiran negara yang asli lahir dalam sejarah institusi kesultanan Melayu, suatu bentuk ilmu pengetahuan tentang cara mentadbir dan melaksanakan pemerintahan negara yang berpaksikan prinsip kedaulatan dan ketuanan Melayu. Dalam sistem tradisi ini, raja selaku ketua negara, agama dan adat istiadat menjadi pusat kekuasaan dengan dibantu oleh sekumpulan pembesar yang menjalankan pelbagai tugas pentadbiran kerajaan yang berhubungan terus dengan rakyat jelata. Teras kepada politik kenegaraan Melayu ialah raja yang bertakhta dan memiliki kuasa melaksanakan pemerintahan negara.

Takhta dan kuasa menjadi inti pati atau nukleus kepada politik kenegaraan Melayu dan mengisi sebahagian besar ruang persuratan istana Melayu. Pewarisan takhta berasal usul daripada wa’ad raja dengan rakyat seperti yang tersurat dalam Sulatus Salatin yang membentuk arketaip politik kenegaraan Melayu sehingga ke hari ini. Sementara kuasa dan kekuasaan pula amat berhubungan dengan kelahiran undang-undang dan amalan adat istiadat yang mengukuhkan atau mengawal keutuhan takhta.

 

Sumber rujukan: Siri Syarahan Umum Pelantikan Profesor bertajuk Karya Agung dan Politik  Kenegaraan Melayu oleh Profesor Jelani Harun.

Cetak Emel