KELAB MALAYSIAKU

LATAR BELAKANG

 

kelab1malaysia

Kelab ini merupakan penjenamaan semula Kelab Setia yang ditubuhkan pada 26 Disember 1995 dan dilancarkan oleh Allahyarham YB Dato’ Mohammed Rahmat, Menteri Penerangan Malaysia (pada ketika itu) di Seremban, Negeri Sembilan. Nama Kelab Setia kemudiannya dijenamakan sebagai Kelab 1Malaysia pada tahun 2012 dan seterusnya Kelab Malaysiaku pada 31 Mei 2018. Kelab ini berkonsepkan kegiatan bersepadu di sekolah-sekolah menengah sebagai satu kegiatan ko-kurikulum.

OBJEKTIF

  • Melahirkan generasi muda yang mempunyai semangat patriotik dan cintakan negara;
  • Membentuk generasi yang bersatu padu dan harmoni;
  • Mendedahkan generasi muda kepada sistem amalan demokrasi berparlimen;
  • Melahirkan generasi muda yang berketrampilan dan proaktif melalui teknik komunikasi massa dan bersemuka; dan
  • Membentuk bakat kepimpinan di kalangan generasi muda.

MOTO

”Penggerak Transformasi Pelajar”

PELAKSANAAN

PERINGKAT SEKOLAH

    • Amalan Demokrasi Berparlimen

Program ini dilaksanakan selama satu hari (1) melibatkan Ahli Kelab Malaysiaku dengan kerjasama sekolah dan Pejabat Penerangan Daerah (PPD). Aktiviti utama Amalan Demokrasi Berparlimen ini adalah sesi pemilihan Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Kelab Malaysiaku dengan dibimbing dan dikawalselia oleh Pegawai Penerangan Daerah dengan kerjasama pegawai daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Aktiviti ini dilaksanakan di sekolah-sekolah pada bulan Februari hingga Mac setiap tahun. Pengisian lain bagi aktiviti ini juga adalah taklimat dan ceramah kenegaraan serta tajuk-tajuk lain yang bersesuaian.

    • Kembara Kelab Malaysiaku

Program ini dilaksanakan selama satu hari (1) melibatkan 40 orang pelajar, empat (4) orang guru pengiring dan seorang (1) Pegawai Penyelaras daripada Jabatan Penerangan Negeri. Aktiviti yang dijalankan di antara bulan Mac dan September setiap tahun ini bertujuan untuk memberi peluang kepada para pelajar untuk menimba ilmu dan mendapatkan pengetahuan baharu mengenai fungsi agensi atau organisasi yang dilawati.

    • Wacana Kemerdekaan

Program ini dilaksanakan selama satu (1) hari melibatkan pelajar-pelajar Sekolah Menengah dan guru-guru sekolah dengan kerjasama Pejabat Penerangan Negeri dan Daerah. Antara pengisian program adalah Merdeka @Komuniti, Tayangan Filem Kenegaraan, Aktiviti Keceriaan Bulan Kebangsaan serta Wacana Kemerdekaan yang merupakan sebuah program taklimat dan ceramah sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan daripada Ikon Patriotik Negara atau Tokoh-tokoh Negarawan yang dijemput atau Pegawai Penerangan. Program ini dilaksanakan di antara bulan Julai hingga September setiap tahun.

PERINGKAT NEGERI

    • Kem Aspirasi Pelajar

Pelaksanaan Kem Aspirasi Pelajar melibatkan Ahli Kelab Malaysiaku yang mengambil masa selama tiga (3) hari dua (2) malam. Jumlah guru pengiring adalah bernisbah seorang (1) guru: sepuluh (10) pelajar (1:10). Penyertaan guru pengiring adalah melibatkan guru lelaki dan perempuan. Antara pengisian Kem Aspirasi Pelajar adalah aktiviti Pembinaan Karakter, Super Spontan, Team Building dan sesi Ice Breaking.

    • Sketsa Rukun Negara

Program yang dilaksanakan berbentuk pertandingan ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman pelajar-pelajar sekolah terhadap Prinsip Rukun Negara. Pertandingan ini juga merupakan aktiviti komunikasi bersemuka berkonsepkan seni lakonan dan penceritaan. Ia dilaksanakan satu (1) kali setiap tahun di peringkat negeri.

PENUTUP

Kelab Malaysiaku memainkan peranan penting dalam mendedahkan para pelajar kepada sistem demokrasi berparlimen, di samping dapat membentuk generasi yang bersatu padu, mempunyai semangat patriotik, membentuk bakat kepimpinan pelajar melalui aktiviti-aktiviti yang diadakan serta melahirkan pelajar yang berketrampilan dan proaktif.

Cetak Emel