KENYATAAN KETUA PENGARAH PENERANGAN

KENYATAAN KETUA PENGARAH PENERANGAN

 

Gambar Surat Pekeliling yang sedang tular di media sosial adalah pekeliling dalaman yang saya keluarkan khas kepada anggota Jabatan Penerangan (JaPen) mengenai cuti persendirian/urusan peribadi ke luar negara sebagaimana yang diperuntukkan dalam Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2014 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam. Pekeliling tersebut memerlukan semua anggota Kerajaan memohon kelulusan untuk ke luar negara samada tugas rasmi atau pun bercuti persendirian/urusan peribadi.

Surat Pekeliling dalaman Jabatan Penerangan bertarikh 28 Februari 2017 adalah peringatan cuti ke luar negara persendirian/urusan peribadi bagi mengelakkan anggota JaPen menempah tiket penerbangan untuk ke luar negara dalam waktu Jabatan memerlukan mereka memberikan tumpuan kepada aktiviti Jabatan dan program rasmi kerajaan. JaPen terlibat dalam aktiviti utama negara seperti Perayaan Hari Kebangsaan, Sukan SEA, Pertabalan KDYMM SPB Yang DiPertuan Agong serta aktiviti advokasi, engagement serta pemasaran maklumat dasar- dasar kerajaan kepada rakyat.

Adalah tanggungjawab JaPen sejak dahulu membantu Suruhanjaya Pilihan Raya dalam memastikan demokrasi berjalan lancar melalui kempen keluar mengundi, pendidikan tatacara dan kaedah mengundi dalam media dan komunikasi bersemuka menjelang PIlihan Raya Umum. Di samping itu tanggungjawab hakiki JaPen untuk menyampaikan maklumat mengenai dasar-dasar Kerajaan juga dibuat secara berterusan.

Menjadi kelaziman juga Surat Pekeliling ini dikeluarkan setahun sebelum tamat tempoh Parlimen bagi mengingatkan seluruh anggota Jabatan agar bersiap sedia menghadapi PRU apabila diisytiharkan kelak.

Surat Pekeliling dalaman Ini juga dikeluarkan kerana ada anggota JaPen yang menempah tiket kapal terbang setahun lebih awal dari tarikh penerbangan mereka bagi mendapat tambang murah dan apabila cuti mereka tidak diluluskan, mereka merayu dengan memberi alasan bahawa tiket telah ditempah dan tidak boleh ditunda tarikhnya. Atas kesibukan tugas dan banyaknya program rasmi Jabatan dan Kerajaan, maka Surat Pekeliling membekukan cuti persendirian ke luar negara dikeluarkan khas untuk anggota Jabatan Penerangan SAHAJA. Ia tidak melibatkan semua penjawat awam sepertimana ditularkan.

Namun Surat Pekeliling ini tidak menyentuh cuti dalam negara yang masih boleh dimohon melalui Ketua Bahagian/Pengarah masing-masing.

Pembekuan ini tidak melibatkan mereka yang mendapat tawaran menunaikan fardhu haji atau umrah dan keperluan ke luar negara tertentu masih boleh dipertimbangkan mengikut merit permohonan mereka contohnya kematian keluarga terdekat di luar negara.

Dato' Haji Ibrahim Abdul Rahman
10 Mac 2017

CetakEmel