Kurang Upaya ico_disabled

Sejarah

Sejarah Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia dikatakan bermula daripada tarikh penubuhan Jabatan publisiti dan percetakan pada bulan September 1945. Walaubagaimanapun sebelum itu terdapat agensi Kerajaan yang menjalankan tugas-tugas perhubungan awam iaitu Malay States Information Agency yang ditubuhkan pada tahun 1926.


Jabatan ini digubal semula untuk disesuaikan dengan pentadbiran sivil mulai 1 April 1946 dan diberi nama baru iaitu Jabatan Perhubungan Raya (Department Of Public Relation). Pada tahun 1950 nama itu ditukar kepada Jabatan Penerangan dengan tugas-tugas yang diperluaskan. Jabatan ini diletakkan di bawah Kementerian Penerangan yang ditubuhkan pada 1961. Laporan Jabatan yang terawal yang terdapat di Arkib Negara adalah laporan bulanan bagi bulan September 1945 yang menyebut bahawa Jabatan telah ditubuhkan semenjak 24 September 1945.


Colonel  Dumeresque telah memperkenalkan dan mengumumkan kepada mesyuarat bahawa Major Walker adalah bertanggungjawab ke atas semua hal publisiti dan percetakan di Kuala Lumpur. Terdapat dua cawangan Jabatan iaitu di Singapura dan di Kuala Lumpur.


Jabatan ini ditubuhkan dengan tujuan dikembalikan imej Kerajaan British yang telah terjejas akibat kedudukan Jepun. Pentadbiran Tentera British berlangsung dari 5.9.1945 dan tamat pada 31.3.1946. British Military Administration menghadapi keadaan yang agak kucar kacir. Sebahagian rakyat telah hilang kepercayaan terhadap mereka. Pada masa itu beberapa Pertubuhan Kebangsaan telah tumbuh dengan niat membebaskan Tanah Melayu dari sebarang kuasa asing.


Sejak penubuhannya Jabatan dipertanggungjawabkan untuk memberi penerangan demi menenangkan dan mengawal keadaan. Penerangan ini disampaikan melalui komunikasi bersemuka, bahan-bahan yang dicetak dan penyiaran melalui Radio. Pada masa itu Jabatan Publisiti dan Percetakan turut bertanggungjawab ke atas percetakan dan penyiaran Radio.



Pada 1 April 1946, Jabatan Publisiti dan Percetakan telah di rombak dan telah diberikan nama baru iaitu Jabatan Perhubungan Raya (Department of Public Relation) yang mengambil alih semua fungsi Jabatan Publisiti dan percetakan. Sejak tarikh tersebut Jabatan ini tidak lagi bertanggungjawab ke atas percetakan dan penyiaran.


Pada tahun-tahun awal penubuhannya Jabatan menjalankan tugas utama sebagai penghubung di antara pemerintah British dengan rakyat tempatan. Peranan ini menjadi lebih penting kerana rakyat tempatan masih ramai yang buta huruf dan anggota pentadbiran British keseluruhannya kurang mahir dengan bahasa dan adat resam tempatan. Maka anggota-anggota  Jabatanlah yang menjadi penterjemah dan penghubung di antara mereka.


Peranan Jabatan semakin penting untuk memperjelas dan menyebarkan peraturan-peraturan dan undang-undang yang dikeluarkan oleh pemerintah hingga ke seluruh ceruk rantau tanahair.Jabatan juga diperlukan oleh Kerajaan British untuk memberi keterangan dan maklum balas tentang reaksi dan pandangan rakyat serta menerangkan kepada pentadbir tentang situasi ekonomi dan sosial disesuatu tempat. Maka bolehlah dikatakan peranan Jabatan adalah untuk memupuk persefahaman dan mengawal kestabilan negara.


Pada akhir tahun 1946 jumlah anggota Jabatan ialah 285 orang yang diketuai oleh seorang director (setaraf dengan ketua pengarah pada masa sekarang) iaitu M.C.SHEPPARD (Allahyarham Tan. Sri Mubin Sheppard).

Organisasi Jabatan ini diperingkat Negeri mula beroperasi pada tahun 1946. Jika sekarang organisasi peringkat negeri diketuai oleh Pengarah Penerangan Negeri tetapi pada tahun 1946 ia diketuai oleh State Public Relation Officer.



Setiap Negeri mempunyai unit-unit bergerak yang antaranya dilengkapi alat siaraya dan projektor  16 mm untuk menayangkan filem-filem State Public Relation Officer menjalinkan hubungan yang sangat erat dengan jabatan-jabatan lain dan menjadi  pengantara di antara Kerajaan Negeri dan rakyat jelata.