gua

Terdapat dua buah gua menarik sebagai destinasi pelancongan iaitu:

  • Gua Kota Gelanggi
  • Gua Gunung Senyum

Gua Kota Gelanggi merupakan tempat yang menarik untuk dilawati. Gua ini terletak di daerah Jerantut di negeri Pahang,Malaysia.Di dalam kompleks ini terdapat banyak gua, antaranya ialah Gua Tongkat, Gua Angin, Gua Batu Sanding, Gua Kota Balai, Gua Penyu, dan Gua Kelawar. Apabila sampai di gua ini, anda akan bertemu dengan gua yang berbentuk pintu gerbang, di dalamnya terdapat alur air yang mengalir air jernih lagi sejuk.

Gua Kota Balai telah berlaku perubahan bentuk kerana suatu masa dahulu (sekitar 1970an) telah berlaku aktiviti penggalian dan pengambilan najis kelawar secara besar-besaran untuk dijadikan baja tanaman. Nama Gua Tangga diambil sempena tangga besi yang ada di situ. Tangga itu telah dibina oleh pengusaha yang mengambil tahi kelawar pada masa itu.

Perihal gua-gua ini ada disebut di dalam buku Sejarah Melayu dengan sebutan Kota Kelangkio. Dikatakan puteri Onangkio daripada Siam telah singgah di sini semasa mengikuti rombongan ke Pahang. Terdapat sebatang anak sungai berhampiran kawasan ini dinamakan Sungai Siam (Sungai Siang). Terdapat dakwaan lisan daripada penduduk setempat bahawa gua ini boleh dihubungkan dengan negeri Pantai Timur iaitu Terengganu atau Kelantan atau Siam. Dakwaan ini berpunca daripada hubungan dengan Siam dan juga perihal Pahlawan Mat Kilau yang berjaya lari ke Siam tanpa diketahui oleh orang ramai.

Gua Kota Gelanggi ini terletak berhampiran kampung Pulau Tawar iaitu tempat asal pahlawan Melayu Mat Kilau. Sebuah gugusan Felda yang berhampiran gua ini juga dinamakan Felda Gelanggi.

Keunikan gua ini telah menarik minat pengeluar filem Sumpah Semerah Padi untuk menjadikannya sebagai lokasi penggambaran filem tersebut. Rangkaian gua-gua di sini agak terancam dengan adanya usaha-usaha pihak tertentu membuka kuari berhampirannya bagi mengambil batu-batan. Bandar paling hampir ialah Jerantut dan Bandar Jengka.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Gunung Senyum yang terletak di Felda Jengka 25, Jengka, Pahang mempunyai ketinggian setinggi 486 meter (1,594 kaki).

Gunung Senyum mempunyai hutan Dipterokarp Bukit. Terdapat banyak flora atau tumbuhan herba di gunung ini yang mempunyai nilai perubatan. Antara gua menarik di sini ialah Gua Terang Bulan Gua Kelam dan Gua Jebak Puyuh. Terdapat juga gua-gua yang masih mengalami proses pertumbuhan stalagtait dan stalagmait. Gua-gua di sini dibawah jagaan PERHILITAN. Terdapat beberapa versi mengenai asal-usul nama Gunung Senyum ini. Antaranya, dikatakan semasa Sultan Pahang sampai di kaki gunung tersebut, baginda bertanya tentang nama gunung itu kepada para pembesar yang mengiringi baginda. Namun, tidak ada seorangpun yang tahu mengenainya sebaliknya para pembesar tersebut hanya mampu tersenyum.

Gunung Senyum terletak berhampiran Sungai Pahang dan boleh didatangi melalui jalan darat daripada Temerloh atau Jerantut. Jika melalui pekan Kuala Krau, pengunjung perlu menyeberangi Sungai Pahang menggunakan perkhidmatan bot yang diusahakan oleh penduduk tempatan.

Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) negeri Pahang telah menjadikan puncak gunung Senyum sebagai pusat origin koordinat bagi negeri ini kerana terletak di tengah negeri Pahang.