Sejarah

SEJARAH PENUBUHAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Sejarah penubuhan Jabatan Penerangan dikatakan bermula dari tarikh penubuhan Jabatan Publisiti dan Percetakan (Department of Publicity and Printing) pada bulan September 1945. Walau bagaimanapun sebelum itu terdapat agensi kerajaan yang menjalankan tugas-tugas perhubungan awam iaitu Malay States Information Agency yang ditubuhkan pada tahun 1926. Jabatan ini disusun semula untuk disesuaikan dengan pentadbiran sivil mulai 1 April 1946 dan diberi nama baru iaitu Jabatan Perhubungan Raya (Department of Public Relations). Pada tahun 1950 nama itu ditukar kepada Jabatan Penerangan dengan tugas-tugas yang tersusun dan diperluaskan lagi. Jabatan ini diletakkan di bawah Kementerian Penerangan yang ditubuhkan pada tahun 1961.

Laporan Jabatan terawal yang terdapat di Arkib Negara ialah laporan bulanan bagi bulan September 1945 yang menyebut bahawa jabatan telah ditubuhkan semenjak 24 September 1945. Minit mesyuarat D.C.C.A.O. Conference bertarikh 22 September 1945 mencatatkan bahawa Jabatan Publisiti dan Percetakan telah diwakili oleh Colonel Dumeresque (Director, Department of Publicity and Printing, British Military Administration, Singapore) dan Major Walker (mewakili Department of Publicity and Printing, Kuala Lumpur). Jabatan ini ditubuhkan dengan tujuan mengembalikan imej Kerajaan British yang telah terjejas akibat pendudukan Jepun. Pentadbiran Tentera British berlangsung dari 5 September 1945 dan tamat pada 31 Mac 1946. British Military Administration menghadapi keadaan kucar kacir selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Sebahagian rakyat telah hilang kepercayaan terhadap mereka. Pada masa itu beberapa pertubuhan kebangsaan telah tumbuh dengan matlamat membebaskan Tanah Melayu dari sebarang penjajahan kuasa asing.

PERANAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA 1940-AN HINGGA 1990-AN
Sejak penubuhannya, jabatan ini dipertanggungjawabkan untuk memberi penerangan bagi menenang dan mengawal keadaan. Penerangan disampaikan melalui komunikasi bersemuka, bahan-bahan yang dicetak dan penyiaran melalui radio. Pada masa itu, Jabatan Publisiti dan Percetakan turut bertanggungjawab ke atas percetakan dan penyiaran radio. Selain itu, jabatan ini juga bertanggungjawab untuk mencetak dan mengawal percetakan semua jenis borang dan bahan-bahan lain yang diperlukan oleh semua jabatan kerajaan. Pada 1 April 1946 Jabatan Publisiti dan Percetakan telah dibubarkan dan diberikan nama baru iaitu Jabatan Perhubungan Raya (Department of Public Relations) yang mengambil alih semua fungsi Jabatan Publisiti dan Percetakan. Sejak tarikh tersebut jabatan ini tidak lagi bertanggungjawab ke atas percetakan dan penyiaran. Pada tahun 1950 barulah nama Jabatan Penerangan diguna pakai selaras dengan fungsi dan tanggungjawabnya.

AWAL PENUBUHAN
Pada awal penubuhannya jabatan menjalankan tugas utama sebagai penghubung di antara pemerintah British dengan rakyat tempatan. Peranan ini menjadi lebih penting kerana rakyat tempatan masih ramai yang buta huruf dan anggota pentadbiran British pula keseluruhannya kurang mahir dengan bahasa dan adat resam tempatan. Anggota-anggota jabatan telah menjadi penterjemah dan penghubung di antara mereka.

Peranan jabatan semakin penting untuk memperjelas dan menyebarkan peraturan-peraturan dan undang-undang yang dikeluarkan oleh pemerintah hingga keseluruh ceruk rantau tanah air. Jabatan juga diperlukan oleh kerajaan British untuk memberi penerangan dan maklum balas tentang reaksi dan pandangan rakyat serta menerangkan kepada para pentadbir mengenai situasi ekonomi dan sosial di sesuatu tempat. Boleh dikatakan peranan jabatan adalah untuk memupuk persefahaman rakyat dan mengawal kestabilan negara.

Unit Bergerak dan Wayang Gambar
Jabatan menjadi terkenal dengan unit-unit bergeraknya yang boleh dilihat di seluruh negara. Fungsi Unit Bergerak telah digariskan di dalam surat rasmi arahan jabatan bertarikh 20 Mei 1946 (Department Instruction No. 2). Tugas-tugas Unit Bergerak adalah seperti berikut ;

  • Memberi penerangan dan nasihat yang sebenar kepada orang ramai.
  • Membina perhubungan baik di antara orang ramai dan kerajaan serta berkerjasama dengan pegawai-pegawai tempatan.
  • Menjalin hubungan baik di antara orang ramai dan Unit-unit Bergerak jabatan.
  • Mendapatkan maklum balas dari orang ramai kepada kerajaan.
  • Menyediakan laporan tentang hubungan mereka dengan orang ramai.

Wayang gambar adalah aktiviti jabatan yang amat popular pada masa dahulu. Di setiap negeri terdapat Unit-unit Bergerak yang dilengkapi dengan projector 16 mm. State Public Relations Officer dan anggota jabatan amat popular di negeri masing-masing kerana merekalah yang sering menjelajah ke seluruh negeri bersama Unit-unit Bergerak untuk memberi ceramah dan mengadakan pertunjukan wayang gambar. Unit-unit ini menjelajah ke segenap tempat untuk mengadakan pertunjukan wayang gambar yang biasanya diadakan di tempat-tempat orang ramai berkumpul terutama di padang-padang sekolah.

Pusat Penerangan
Pusat-pusat Penerangan telah ditubuhkan di bandar-bandar utama di seluruh negara mulai tahun 1945 untuk menjalankan kegiatan seperti mana yang dijalankan di Biro-biro Penerangan pada hari ini. Antara Pusat Penerangan terawal didirikan ialah Pusat Penerangan di Java Street Kuala Lumpur yang dibuka pada 20 Oktober 1945. Pusat Penerangan menjadi tempat orang ramai membaca buku, mendengar radio dan melihat gambar-gambar yang dipamerkan mengenai peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalam dan di luar Negara. Pusat-pusat ini merupakan saluran penting bagi penyebaran maklumat di bandar-bandar.

Perhubungan Akhbar
Perhubungan Akhbar adalah sebahagian yang penting sejak 1945 lagi. Tugas perhubungan akhbar dijalankan di peringkat ibu pejabat oleh Press Relations Officers dengan dibantu oleh pemberita-pemberita. Mereka bertanggungjawab membuat liputan dan mengeluarkan kenyataan akhbar khasnya acara-acara rasmi bersangkut-paut dengan pentadbiran kerajaan. Topik-topik penting termasuklah rancangan–rancangan dan kempen yang dijalankan oleh jabatan-jabatan kerajaan terutama pengeluaran makanan dan kempen-kempen kesihatan, nasihat-nasihat tentang pendidikan kesihatan, menyimpan wang dan sebagainya. Bahagian ini juga mengendalikan sidang akhbar dan mempastikan pihak media membuat pemberitaan yang tepat.

Sehingga tahun 1947 bahagian ini terbahagi kepada lima ;

  1. Cawangan Kenyataan Akhbar
  2. Cawangan Intisari Akhbar
  3. Perpustakaan Keratan Akhbar
  4. Penulisan rencana untuk majalah-majalah luar negara terutama keluaran England bagi tujuan memperkenalkan Malaya
  5. Cawangan Penterjemahan

Penerbitan
Jabatan telah mencetak pelbagai bahan kempen seperti poster dan risalah sejak awal penubuhannya. Pada tahun 1946 jabatan telah menerbitkan (atau menaja penerbitan) 14 tajuk buku disamping akhbar jabatan Malayan Observer. Malayan Observer mengandungi berita-berita tentang kegiatan-kegiatan kerajaan dan peristiwa semasa di Malaya. Akhbar ini dikeluarkan juga di dalam edisi Tamil untuk disebarkan di estet-estet. Jabatan turut menerbitkan buku-buku yang boleh digunakan sebagai teks atau rujukan. Pada tahun 1946, jabatan telah menterjemah dan menerbitkan The History of the Second World War yang digunakan di sekolah-sekolah. Disamping itu jabatan menerbitkan risalah-risalah terutama mengenai kesihatan dan kebersihan, pengeluaran bahan-bahan makanan dan aspek-aspek perlembagaan dan kenegaraan. Poster-poster juga merupakan saluran penyebaran maklumat yang penting. Jabatan mengeluarkan poster-poster untuk kebersihan dan kesihatan, menyimpan wang, kebajikan dan pemakanan.

Pameran
Aktiviti pameran dikendalikan oleh sebuah bahagian yang dikenali sebagai Artist and Caption Writers Division. Bahagian ini menyediakan gambar-gambar dancaption untuk dipamerkan di semua Pusat-pusat Penerangan dan di paparan yang disediakan. Pameran menjadi saluran penerangan yang sangat berguna untuk menerangkan kepada orang ramai terutama mereka yang kurang mahir membaca mengenai maklumat yang perlu diketahui. Jabatan turut mengambil bahagian serta menyediakan kepakaran dalam pameran-pameran yang dianjurkan oleh agensi lain. Pada akhir tahun 1946 misalnya, jabatan telah mengambil bahagian dalam pameran Royal Australian Exhibition di Sydney dan pameran British Industries Fair.

Pementasan
Pada bulan Oktober 1946 jabatan telah menubuhkan pasukan teater yang terdiri dari artis-artis amatur. Mereka telah mengadakan persembahan di Pahang, Terengganu dan Kelantan. Mereka mementaskan lakonan, nyanyian dan tarian yang bertemakan kebaikan menyimpan wang dan kepentingan pelajaran. Pada tahun 1947 Tamil Drama Party telah ditubuhkan dan telah membuat persembahan di estet-estet terutama di Kedah dan Perak. Media hiburan secara pementasan ini telah berjaya menarik minat di kalangan masyarakat.

ZAMAN DARURAT
Jabatan turut memainkan peranan utama dalam menyelamatkan negara dari ancaman komunis di zaman darurat. Seluruh jentera jabatan digerakkan untuk tujuan ini. Banyak bahan syarahan yang dibekalkan oleh ibu pejabat mengajak orang ramai supaya bersatu padu menentang komunis. Orang ramai diajak untuk memberi sokongan kepada kerajaan dan melarang mereka membantu pihak komunis di samping mencetak risalah-risalah atau surat-surat rayuan yang ditujukan khas kepada saki-baki pengganas yang masih berada di hutan rimba. Pengguguran surat rayuan itu sering dibuat apabila menjelangnya Tahun Baru Cina. Anggota jabatan turut meredah ke hutan-hutan dan berada di barisan hadapan untuk membuat rayuan kepada saki-baki komunis. Pada tahun 1957 jabatan melancarkan counter-subversion campaign atau kempen anti-subversif yang menerangkan kepada orang ramai tentang bahaya unsur-unsur subversif.

DETIK KEMERDEKAAN
Tanggungjawab jabatan menjadi lebih bermakna lagi menjelangnya detik yang ditunggu-tunggu iaitu kemerdekaan negara. Anggota jabatan bekerja keras membuat pengumuman dan ceramah. Orang ramai diajar tentang erti demokrasi dan juga bekerja sendiri. Tidak kurang pentingnya ialah usaha untuk membentuk pemikiran rakyat dan memupuk kesetiaan kepada Persekutuan Tanah Melayu. Pada Hari Kemerdekaaan, Unit-unit Bergerak berada di tempat-tempat perhimpunan di seluruh negara bagi meyediakan alat siaraya untuk pembacaan perisytiharan kemerdekaan. Melalui peti radio yang telah disediakan oleh jabatan di setiap Pusat Penerangan, orang ramai dapat mengikuti siaran secara langsung dari Stadium Merdeka. Dengan ini rakyat di seluruh negara dapat merasakan bahawa mereka turut merayakan hari bersejarah itu. Ini adalah satu perkara yang amat bermakna bagi jabatan dalam usaha memupuk semangat cintakan negara.

ERA PENGISIAN KEMERDEKAAN
Tugas jabatan dalam mengisi kemerdekaan ialah mendapatkan sokongan rakyat untuk turut menjayakan segala rancangan yang dijalankan oleh kerajaan. Dalam konteks masyarakat berbilang kaum, jabatan telah membantu menjalankan berbagai kempen untuk menanam semangat muhibbah dan perpaduan di antara kaum. Jabatan telah menganjurkan Kursus Sivik, Perhimpunan Sivik dan Hari Sivik di setiap negeri. Topik-topik yang diberi tumpuan adalah pendidikan kenegaraan dan isu-isu semasa mengikut kesesuaian tempat diadakan. Jabatan bekerja keras untuk memberi publisiti kepada peranan dan fungsi jabatan-jabatan dan agensi kerajaan yang ditubuhkan. Jabatan ini juga turut memberikan khidmat semasa berlakunya kekacauan misalnya ketika berlakunya rusuhan di Pulau Pinang pada tahun 1957.

Unit-unit Bergerak telah membantu polis untuk mengawal keadaan. Anggota-anggota jabatan bertugas 24 jam untuk memberikan laporan melalui Radio Malaya dan Redifussion. Laporan-laporan ini lebih bertujuan untuk membanteras penyebaran khabar angin dan menenangkan keadaan.

Jabatan Penerangan terus menjalankan fungsinya sebagai pembina minda dan jiwa rakyat bagi mencapai matlamat pembangunan negara. Kempen-kempen utama yang dijalankan oleh jabatan adalah selaras dengan perkembangan dan pembangunan yang sedang berlaku di dalam negara. Pelbagai aktiviti dijalankan untuk menyebarkan maklumat-maklumat mengenai Dasar Ekonomi Baru, Perlembagaan, Rukun Negara, Dasar Pelajaran Kebangsaan, sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air, Amanah Saham Nasional, ancaman dan bahaya penyalahgunaan dadah, keselamatan negara dan berbagai dasar kerajaan.

Peranan utama jabatan pada era kemerdekaan bolehlah dirumuskan sebagai ;

  • Berusaha untuk menyedia dan membiasakan pemikiran rakyat terhadap sesuatu motivasi melalui aktiviti-aktiviti komunikasi bersemuka dengan dibantu oleh media-media lain yang terdapat di Jabatan Penerangan.
  • Berusaha agar hasrat kerajaan akan menjadi hasrat orang ramai tanpa mengira bangsa dan seterusnya dapat diterima, dipraktis dan diterap oleh masyarakat.
  • Menjadi jambatan yang dapat menghubungkan rakyat dengan kerajaan dan di antara kerajaan dengan rakyat.

Pada tahun 1961, Kementerian Penerangan dan Penyiaran telah ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan diletakkan dibawah kuasa Perdana Menteri, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan Syed Jaafar Albar sebagai Menteri Mudanya. Pada masa yang sama Jabatan Penerangan telah diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Penerangan.

SEMASA KONFRANTASI
Ketika negara menghadapi konfrantasi pada tahun 1962-1963, tanggungjawab besar jabatan ialah menentang dakyah yang dilancarkan oleh Indonesia dan penentang-penentang pertubuhan Malaysia yang terdiri dari pertubuhan politik berhaluan kiri di Brunei dan Sarawak. Semasa peringkat awal konfrantasi, Ketua Pengarah jabatan ketika itu, Datuk Mohd. Sopiee Ibrahim telah menjelajah Malaysia untuk memberi penerangan dan taklimat khas kepada Pegawai-pegawai Penerangan. Tumpuan kegiatan telah diberikan terutamanya di sepanjang pantai. Orang ramai sentiasa diingatkan tentang pendaratan musuh dan diminta melaporkan kepada polis jika ternampak orang-orang yang tidak dikenali di dalam kampung mereka.

Unit Bergerak telah menyampaikan maklumat kepada masyarakat terutama di luar Bandar supaya tidak mempercayai dan melawan tuduhan dan propaganda Indonesia. Jabatan juga membantu mengadakan rapat umum bagi menerangkan kedudukan sebenar konfrantasi dan perhimpunan anti Sukarno. Pada masa ini aktiviti penerangan luar negeri diperhebatkan untuk memenangi sokongan antarabangsa sehingga berakhirnya konfrantasi.

SELEPAS PERISTIWA 13 MEI 1969
Dengan tercetusnya Tragedi 13 Mei, jabatan sekali lagi memikul tanggungjawab berat untuk menenangkan kembali keadaan. Pegawai-pegawai jabatan bekerja keras bagi memulihkan keyakinan dan perpaduan rakyat demi menyelamatkan negara dari kehancuran. Pada tahun 1969 Bahagian Penerangan Luar Negeri telah dipindahkan ke Kementerian Luar Negeri. Selepas peristiwa 13 Mei, kerajaan telah melancarkan berbagai strategi dan kempen untuk mengeratkan perpaduan dan membina ketahanan nasional. Aktiviti utama jabatan selepas 13 Mei adalah untuk mendapatkan sokongan rakyat bagi menjayakan Dasar Ekonomi Baru dan penerapan Rukun Negara kepada setiap rakyat terutamanya golongan muda telah dilancarkan. Dasar Ekonomi Baru dan penerapan Rukun Negara menjadi tumpuan utama kegiatan jabatan sepanjang tahun-tahun tujuh puluhan sehingga tahun lapan puluhan.

ERA WAWASAN 2020
Jabatan Penerangan melangkah ke era wawasan 2020 dengan kesedaran bahawa usaha pembangunan negara menjadi bertambah pesat, terancang dan tersusun sesuai dengan matlamat, cita-cita dan falsafah negara yang mahu menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Peranan jabatan ialah untuk menerapkan pemikiran dan falsafah Wawasan 2020 di kalangan rakyat. Sehubungan itu, jabatan telah mengubah suai strateginya bersesuaian dengan keadaan masyarakat umum yang semakin tinggi tahap pendidikan dan pendedahannya dan semakin kritis terhadap setiap dasar dan tindakan kerajaan. Pada masa yang sama jabatan juga telah menghadapi cabaran dari perkembangan teknologi maklumat komunikasi yang semakin pesat. Dengan perkembangan ini peranan dan matlamat jabatan ialah untuk membentuk satu rupa bangsa Malaysia yang bermaklumat dan bermaruah tinggi untuk mencapai kestabilan politik, ekonomi dan sosial selaras dengan cita-cita Wawasan 2020 bagi mewujudkan sebuah negara maju.