Terengganu Sertai Karnival K1M Kebangsaan
Seratus Tiga Puluh Lapan ahli Komuniti 1Malaysia dan sepuluh pegawai Jabatan Penerangan Negeri Terengganu hadir dan menyertai Karnival 1Malaysia (K1M) Peringkat Kebangsaan yang diadakan empat hari bermula 5 Januari 2012 di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor.
Karnival yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menghimpunkan semua ahli K1M seluruh negara dan pada majlis perasmian hampir 30,000 membanjiri tapak karnival untuk mendengar amanat Perdana Menteri itu.
Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti Senam Seni 1Malaysia, pameran hasil produktiviti K1M, persembahan Pentarama, Layar Bestari dan lawatan Kunjung Kasih.
Terengganu turut menyertai pameran serta menjual hasil produktiviti K1M iaitu batik dan songket. Jualan dan pameran itu dikendalikan oleh K1M Bukit Besar serta dibantu oleh pegawai pengiring Jabatan Penerangan Negeri Terengganu.
Gerai K1M Terengganu mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pengunjung dan semua barangan jualan yang dibawa ke karnival itu habis dibeli oleh orang ramai.
Turut melawat gerai pameran itu ialah Datuk Seri Mohd Najib, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, YB Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Tuan Haji Ibrahim Abdul Rahman.
Selain itu, peserta K1M Terengganu turut menyertai Konvensyen Komuniti 1Malaysia Kebangsaan yang diadakan di Politeknik Sultan Abdul Shah, Shah Alam, Selangor. –BERITA:SHUHAIMI AHMAD/FOTO:HADI TAHAR