10 OGOS 2022, WARTA ORIENTAL, JAPEN RANAU TERUS CEKAL SAMPAIKAN INFO, DASAR KERAJAAN KE AKAR UMBI

Category: Liputan Berita 2022

[vc_row][vc_column][vc_empty_space][vc_single_image image=”17556″ img_size=”full” alignment=”center”][vc_column_text]RANAU: Jabatan Penerangan (JaPen) Daerah Ranau bertekad untuk terus cekal dalam menyampaikan info dan dasar-dasar kerajaan hingga sampai ke akar umbi.

Pegawai JaPen Daerah Ranau, Kenny Thomas, berjanji untuk terus menabur sumbangan terbaik meski pun berdepan pelbagai pengalaman pahit manis sejak berpindah ke daerah ini.

“Saya ditugaskan sebagai Pegawai JaPen Ranau hampir dua tahun, bermula Januari tahun 2021.

“Banyak pengalaman sebenarnya yang telah saya dapat sepanjang berkhidmat di Daerah Ranau ini. Antaranya pengalaman manis apabila dapat berkenalan dengan penduduk dan masyarakat yang berada di luar bandar.

“Maksud saya di sini, bergaul dan bertukar-tukar pendapat sambil mendengar keluh kesah masyarakat yang berada di luar kawasan Pekan Ranau itu sendiri,” katanya.

“Mungkin perlu saya sebutkan di sini bahawa pengalaman perjalanan saya ke Kampung Kaingaran merupakan suatu pengalaman yang saya sukar lupakan.

“Perjalanan ke tempat itu begitu mencabar, dengan keadaan jalannya dan juga jaraknya yang jauh,” jelasnya.

Kampung Kaingaran merupakan sebuah kawasan perkampungan di pedalaman Ranau.

Jarak antara Pekan Ranau dan Kampung Kaingaran ialah kira-kira 90 kilometer, dengan tempoh perjalanan mengambil masa 2 jam 45 minit.

Jalan raya di kawasan kampung menuju ke Pekan Ranau tidak berturap (gravel). Projek Naik Taraf Jalan Raya Ranau – Malinsau telah diluluskan pada 2008

Bagaimanapun, projek tersebut tidak berjalan lancar seperti yang diharapkan, berkemungkinan disebabkan keadaan bentuk muka bumi yang berbukit bukau dan cuaca yang tidak menentu.

“Kenangan itu kini manis bagi saya kerana di situlah kita lihat semangat penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Kita dapat lihat, walaupun kesusahan apa sekalipun, namun mereka masih dapat menjalankan kehidupan harian seperti biasa.

“Jadi itu mengajar saya untuk lebih bersyukur dengan nikmat yang kita ada di kawasan bandar dan pekan,” ujar Kenny.

Selain itu, katanya, beliau juga menghargai pengalaman berjumpa ramai orang yang begitu mudah mesra, peramah dan tidak sombong.

Menurutnya, ramai sebenarnya masyarakat yang pandai berbahasa Dusun jadi secara tidak langsung, beliau sendiri pun dapat memperbaiki lagi penggunaan bahasa Dusunnya sendiri.

“Jadi itu adalah antara pengalaman-pengalaman pahit dan manis yang mungkin saya tidak dapat lupakan semasa bertugas di sini dan akan saya kenang sampai hari tua nanti,” katanya.

Mengenai cabaran yang sangat memberi kesan kepadanya setakat ini di daerah Ranau, beliau berkata ia adalah dari segi jarak perjalanan yang agak jauh dari satu lokasi ke satu lokasi lain.

Walaupun JaPen berpusat di Pekan Ranau, kawasan liputan penugasan kakitangannya bukan setakat di Pekan Ranau sahaja, bahkan juga melibatkan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kundasang, Karanaan dan Paginatan.

“Seperti yang kita sedia maklum, DUN Kundasang itu terletak sangat jauh dari Pekan Ranau dan saya kira, perkara yang paling mencabar ialah untuk bertahan dalam perjalanan yang memakan masa yang panjang.

“Bukan juga disebabkan oleh faktor keadaan jalan raya yang tidak berturap dan berbatu-batu, tetapi jarak sesuatu lokasi itu memakan masa dan agak jauh untuk sampai ke situ,” katanya.

Harapan Kenny ialah agar beliau dapat membawa lagi perkhidmatan JaPen ke seluruh pelusuk Daerah Ranau.

“Hal ini signifikan kerana kita tahu bahawa JaPen adalah salah satu agensi kerajaan frontliner (barisan hadapan) yang paling penting.

“Jadi sebagai barisan hadapan, saya sangat berharap agar perkhidmatan JaPen dapat saya bawa sehingga tiada lagi kampung atau lokasi yang kami tidak pernah lawati.

“Selagi kawasan tersebut dapat dimasuki menggunakan kenderaan atau dengan cara alternatif, kami akan masuk demi menyampaikan info dan dasar-dasar kerajaan hingga sampai ke akar umbi,” jelas Kenny.[/vc_column_text][/vc_column][/vc_row]