[vc_row][vc_column][vc_empty_space][vc_single_image image=”19148″ img_size=”full” alignment=”center”][vc_column_text]
KUALA LUMPUR: Buat julung kali, Jabatan Penerangan (JAPEN) menyelaraskan sebanyak 14 Pusat Media Maya (PMM) seluruh negara yang mula diaktifkan 3 November lalu hingga hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu ini.
Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan, Datuk E Sivabalan, berkata PMM adalah inisiatif Bahagian Komunikasi Strategik dan Komunikasi, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, diwujudkan bagi menyediakan platform menyalurkan maklumat secara lebih mudah serta efektif kepada pihak media untuk membuat liputan sepanjang tempoh berkempen PRU15.
Beliau berkata, PMM yang diwujudkan melalui WhatsApp Group itu bertujuan untuk berkongsi maklumat berkaitan jadual kempen calon daripada semua parti yang bertanding pada pilihan raya umum kali ini.
“Dalam PMM, kita telah menjemput semua wakil media serta wakil penerangan parti seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan, Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), parti-parti lain dan calon-calon Bebas untuk berkongsi jadual pergerakan calon parti masing-masing.
“Selain itu, wakil daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga dijemput ke dalam PMM ini bagi berkongsi segala pemakluman berkaitan PRU15 kepada warga media untuk hebahan umum,” katanya ketika dihubungi BERNAMA, hari ini.
Mengulas lanjut, Sivabalan berkata, penyelarasan PMM dilihat lebih efektif kepada semua pihak terbabit berbanding pengoperasian pusat media secara fizikal yang diadakan pada setiap pilihan raya umum sebelum ini, sekali gus ia mengurangkan kos perbelanjaan.
“Semua pihak terbabit terutama media juga menyambut baik serta bersetuju dengan penubuhan PMM ini kerana ia lebih fleksibel serta pantas dalam mengumpul maklumat dan sebagainya,” katanya. – BERNAMA[/vc_column_text][/vc_column][/vc_row]