[vc_row][vc_column][vc_empty_space][vc_single_image image=”19479″ img_size=”full” alignment=”center”][vc_column_text]Iskandar Puteri: Kerajaan negeri menerusi Jabatan Penerangan Negeri Johor (Japen) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) sedang merangka modul untuk pendedahan kepentingan dan tanggungjawab mengundi seiring dengan had usia pengundi 18 tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh berkata, jalinan kerjasama pintar juga diwujudkan dengan Institut Dato’ Onn (IDO) bagi penghasilan modul ini berdasarkan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki oleh agensi berkenaan.
Beliau berkata, buat masa ini pelajar didedahkan dengan amalan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan menerusi Kelab Malaysiaku yang terdapat di 73 sekolah di seluruh negeri Johor.
Menurutnya, antara strategi yang dirangka dan disusun bagi memudahkan pelajar memahami perjalanan pemilihan kepimpinan di negara ini adalah menerusi proses pilihan raya.
Katanya, setakat ini dengan kerjasama dari Akademi Pilihan Raya (APR), pelajar didedahkan dengan proses bagaimana sesuatu pilihan raya itu dijalankan di samping memberikan penekanan kepada kepentingan menjadi pengundi yang bertanggungjawab menerusi memilih kepimpinan untuk menerajui negara di masa depan.
“Bagi 2022, Japen melaksanakan 20 Program Cambah Minda dan Taklimat Isu Semasa berkaitan Undi18 dan tanggungjawab warganegara di politeknik, kolej komuniti dan membabitkan pelajar tingkatan enam di seluruh negeri Johor.
“Program ini bertujuan memberikan pendedahan dan maklumat kepada pelajar terutama yang berusia 18 tahun dan ke atas mengenai had umur mengundi, peranan dan tanggungjawab warganegara dalam pembentukan kerajaan serta sistem demokrasi di negara ini,” katanya di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Hahasrin Hashim (BN-Panti) sama ada kerajaan negeri mempunyai perancangan khusus dalam membangunkan sebuah modul khas bersifat politik dan kenegaraan kepada pelajar sekolah menengah di negeri ini sejajar dengan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun.
Norliza berkata, selain pendedahan berbentuk program, bahan-bahan sokongan yang menekankan kenegaraan turut disediakan dan sedang diguna pakai di sekolah menengah dan tingkatan enam.
Beliau berkata, ia berbentuk modul pembelajaran seperti Buku Modul Pengajian Am dan Modul Sejarah.
Katanya, kandungan bahan akademik ini mendedahkan murid-murid kepada pengetahuan politik berkaitan struktur pemerintahan negara, demokrasi berparlimen dan negara bangsa.
“Antara tajuknya berkaitan Malaysia Kekal Berdaulat, pembentukan negara Malaysia, perlembagaan persekutuan dan Demokrasi dan Pilihan Raya.
“Kandungan buku teks Sejarah Tingkatan 5 pula dalam Bab 3 menekankan murid-murid berkaitan tajuk peranan Agong dan sistem pemerintahan, kerajaan pusat, senarai kerajaan pusat dan kerajaan negeri
manakala Bab 8 mendedahkan tajuk pilihan raya dan kelayakan mengundi.
“Bagi menyuburkan kemahiran dan pengetahuan murid, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga mewujudkan Kelab Rukun Negara dan Persatuan Sejarah dan Kewarganegaraan yang bertujuan menyuburkan sifat sayang kepada negara, jati diri dan sifat patriotisme.
“Selain itu, murid-murid juga diterapkan kesedaran berkaitan warisan sendiri, tanggungjawab terhadap diri sendiri, orang lain, komuniti dan masyarakat, hormat terhadap budaya dan masyarakat lain di Malaysia,” katanya.
[/vc_column_text][/vc_column][/vc_row]