Teks Ucapan YB Menteri Komunikasi Dan Multimedia Malaysia Sempena Majlis Perasmian Kompleks Bersepadu KKMM Sultan Nazrin Shah

TEKS UCAPAN

YB DATUK SERI PANGLIMA DR. MOHD SALLEH BIN

TUN SAID KERUAK

MENTERI KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA MALAYSIA

MAJLIS PERASMIAN KOMPLEKS BERSEPADU KKMM SULTAN NAZRIN SHAH

NEGERI PERAK

9 JANUARI 2015 (SABTU), 9.30 PAGI

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Mengadap Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah

dan
Duli Yang Maha Mulia, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim

Ampun Tuanku beribu-ribu Ampun, Sembah Patik Mohon Diampun.

1. Terlebih dahulu dengan penuh hormat dan takzimnya, patik bagi pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, merafakkan setinggi-tinggi Kesyukuran ke hadrat Allah subhanahuwataala kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya, patik dan sekalian hadirin dapat berkumpul bagi meraikan keberangkatan  Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Berdua berkenan mencemar duli bagi menyempurnakanMajlis Perasmian Kompleks Bersepadu KKMM Sultan Nazrin Shah di Negeri Perak pada pagi yang mulia ini. Majlis perasmian ini adalah bersempena dengan sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak yang ke-60.  Patik mendoakan, semoga Tuanku dan Tuanku Raja Permaisuri sentiasa berada dalam keafiatan dan dilanjutkan usia.

2. Sesungguhnya kesudian keberangkatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Baginda Tuanku berdua ke majlis ini menunjukkan keprihatinan Tuanku terhadap perkembangan dan kemajuan yang dilaksanakan untuk rakyat jelata terutamanya pembangunan masyarakat bermaklumat dalam kalangan rakyat di Negeri Perak ini.

Ampun Tuanku,

3. Pada  kesempatan ini juga patik menjunjung kasih di atas keberangkatan Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir Perak, Raja Jaafar bin Raja Muda Musa

4. Keberangkatan Duli-duli Tuanku telah menyerikan lagi Majlis ini. Sesungguhnya patik yakin ia akan terus menjadi ingatan kepada warga kerja Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Ampun Tuanku,

5. Dengan penuh hormat dan takzimnya, patik mohon izin dan perkenan Ke Bawah Duli YangMaha Mulia Tuanku untuk menyampaikan sepatah dua kata kepada para hadirin yang turut menyerikan majlis ini.

Ampun Tuanku,

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir,

Menteri Besar Negeri Perak

dan Yang Amat Berbahagia Datin Seri Diraja

Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia

Yang Berhormat Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak

dan

Yang Berbahagia Datin Seri

Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Undangan Negeri dan Parlimen

Yang Berbahagia Orang Besar-Orang Besar Negeri dan Orang Besar-Orang Besar Jajahan dan

Toh Puan-Toh Puan

Pengurusan Tertinggi KKMM

Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri

Dif-dif jemputan, wakil-wakil media

YBhg. Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan

Para hadirin yang dihormati sekalian.

6. Terlebih dahulu bagi pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri Perak atas jemputan keMajlis Perasmian Kompleks Bersepadu KKMM Sultan Nazrin Shah di Negeri Perak ini. Setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Kerajaan Negeri Perak yang sudi merealisasikan hasrat KKMM dengan mengizinkan tanah untuk tapak pembinaan Kompleks.  Semoga dengan adanya Kompleks Bersepadu ini dapat kita manifestasi kerjasama erat di antara pihak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam usaha berterusan bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat demi kemajuan negara secara amnya dan Negeri Perak secara khasnya.

8. Perak amat bertuah kerana mempunyai segala elemen untuk membangun sebagai sebuah kawasan ekonomi yang dinamik.  Baik dari segi kedudukan geografinya sebagai negeri kedua terbesar di Semenanjung Malaysia; baik dari segi infrastruktur dan prasarana yang tersedia; baik dari segi tanah yang bukan sahaja luas tetapi strategik untuk dibangunkan; baik dari segi rakyat yang bukan sahaja agak besar jumlahnya tetapi juga amat mementingkan pendidikan; dan baik dari segi kerajaan negeri yang dinamik dan progresif. 

Para hadirin sekalian,

10. Sesungguhnya, hari ini juga merupakan satu lagi hari yang bersejarah bagi kita. Hari ini kita akan bersama-sama menjadi saksi kepada Perasmian Kompleks Bersepadu KKMM, Negeri Perak ini yang akan menjadi penghubung antara Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Jabatan Kerajaan Negeri Perak dalam menyampaikan maklumat dan dasar kerajaan kepada rakyat negeri Perak ini. 

11. Sebagai makluman, kerja-kerja pembinaan Kompleks Bersepadu KKMM Negeri Perak ini telah dimulakan pada tahun 2008 di atas tanah seluas 10 ekar di Mukim Ulu Kinta, Ipoh telah siap sepenuhnya pada tahun 2011. Kompleks yang bernilai RM42 juta ini dikawal selia sepenuhnya oleh Bahagian Pembangunan Fasiliti, Jabatan Penyiaran Malaysia. Segala bentuk rekaan dalaman dengan pemilihan landskap berserta warna dikekalkan sehingga hari ini setelah pihak Jabatan Kerja Raya menyerahkan bangunan ini pada 30 Jun 2011.

12. Patik difahamkan bahawa Jabatan Penyiaran Malaysia, Negeri Perak dengan kekuatan seramai 100 orang kakitangan dan Jabatan Penerangan Malaysia, Negeri Perak dengan kekuatan seramai 60 orang akan ditempatkan di Kompleks ini. Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Perak bertindak sebagai ketua agensi di bangunan ini yang bertanggungjawab menyelaras operasi serta pengurusan bangunan. Kewujudan kompleks serba lengkap dengan kemudahan teknologi terkini dalam bidang penyiaran, komunikasi dan ruang kondusif pada hari ini memberikan satu kesan yang positif dengan adanya satu mercu tanda Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang baru di Negeri Perak.

13. Kemudahan Kompleks Bersepadu KKMM, Negeri Perak amat membantu dan akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri dan rakyat di Perak menerusi ruang media radio rasmi sama ada dalam bentuk hebahan mahupun dalam bentuk temu bual secara eksklusif. Kompleks ini juga menjadi kebanggaan dengan kehadiran Auditorium Perakfm yang bercirikan Teater Hall yang menempatkan peralatan penyiaran radio yang serba lengkap. Auditorium ini juga mampu menampung jumlah kehadiran penonton seramai 500 orang. Penggunaan auditorium ini dapat digunakan secara meluas dalam menyampaikan sebarang hebahan kepada masyarakat selaras dengan perkembangan pesat teknologi baru.

14. Pertambahan bangunan kerajaan dengan membawa identiti mesra komuniti ke arah mewujudkan komuniti bermaklumat sebegini memberikan impak yang positif dari sudut pembangunan Negeri Perak. Sesuai dengan visi Kementerian yang mana ‘Menjadi Peneraju Utama Masyarakat Bermaklumat’, Kompleks Bersepadu KKMM ini diharap memberikan satu perubahan yang besar kepada negeri ini khususnya dalam Agenda Transformasi Nasional.

Para hadirin yang dihormati,

15. Adalah menjadi harapan KKMM agar kompleks ini akan beroperasi dengan lancar terutama dalam melaksanakan peranannya sebagai medium komunikasi dan informasi dalam penyiaran awam, hiburan, ruang bicara ilmiah dan rujukan maklumat dalam membantu jabatan-jabatan kerajaan menyebarkan maklumat dengan berkesan kepada masyarakat umum.  Semoga warga kerja yang ada diKompleks Bersepadu KKMM, Negeri Perak ini berpegang kepada Agenda Transformasi Perkhidmatan Awam, menjadi warga pekerja yang berkemahiran, berpengetahuan, bersikap positif dan terbuka dalam menentukan nilai-nilai murni yang ada untuk diterapkan dalam diri dan bekerja dalam suasana yang kondusif, harmoni serta produktif dengan kewujudan kompleks yang baru ini.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, Sembah Patik mohon diampun

16. Demikianlah berakhirnya ucapan patik sempena majlis ini. Patik sekali lagi dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah menjunjung kasih di atas limpah perkenan Duli Tuanku berdua mencemar Duli berangkat ke Majlis Perasmian Kompleks Bersepadu KKMM, Negeri Perak pada pagi yang bersejarah ini. Semoga Duli-Duli Tuanku terus kekal bersemayam di atas singgahsana takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dengan dilindungiNYa selama-lamanya. 

17. Patik mohon dengan segala kerendahan patik merafak sembah menyusun sepuluh jari, mengatur tutur kata jika ia tiada tertib, patik pohonkan keampunan. Jika ia tiada hemah patik pohonkan petunjuk.

Patik menjunjung kasih,

Ampun Tuanku.

Print Email