Laporan/foto: Muhammad Azrul Hafiz Mohamad Nazri/Muhaimin Musa (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 9 Feb (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 di Taman Tasik Titiwangsa merupakan langkah proaktif memperkukuh perlindungan digital buat kanak-kanak, remaja dan institusi keluarga di Malaysia.
Fahmi Fadzil ketika berucap di majlis Hari Keselamatan Internet 2026.
Majlis perasmian oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, semalam menjadi detik penting melalui penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang telah bermula sejak awal Januari lalu, selain pengenalan had umur pendaftaran akaun media sosial bagi individu bawah 16 tahun melalui pendekatan medan ujian regulatori.
“Peranti bukan pengasuh, parents take control. Kita nak ibu bapa tahu bagaimana untuk meletakkan sekatan-sekatan keselamatan ke atas peranti-peranti supaya anak-anak tidak terlalu leka bermain aplikasi-aplikasi di dalamnya,” tegas Fahmi.
Kemuncak sambutan melalui pelancaran Kempen Internet Selamat 2026 yang mensasarkan sejuta rakyat Malaysia mendapatkan latihan serta kemahiran keselamatan dalam talian bagi mengelakkan ancaman siber dan penipuan digital.
Fahmi bersama dif-dif kehormat dan selebriti tanah air.
Pelbagai aktiviti interaktif seperti pameran kawalan ibu bapa dan e-sukan turut diadakan bagi memastikan mesej keselamatan Internet sampai kepada masyarakat merentas generasi secara lebih santai dan berkesan.
Melalui inisiatif ini, kerajaan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) komited memastikan ekosistem digital negara lebih selamat dan beretika menerusi kawal selia platform serta pendidikan pengguna yang lebih holistik.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Fadlun Mak Ujud, Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (WPKLP) Normaizatulakmal Tujad serta rakan-rakan strategik.
-RI