JAPEN PERKUKUH JALINAN DENGAN SK SIKAMAT MELALUI SAM

Category: Liputan Berita 2025

SEREMBAN, 2 Dis (MalaysiaAktif) – Hubungan strategik antara Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sikamat, di sini terus diperkukuh melalui penyerahan Projek Sekolah Angkat MADANI (SAM) oleh Ketua Pengarah JAPEN Julina Johan, semalam.

Ketua Pengarah JAPEN Julina berkata jabatan itu akan terus menjadi rakan strategik kepada sekolah.

 

 

 

 

 

Majlis yang dihadiri lebih 1,000 peserta terdiri daripada murid, guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) itu menyaksikan JAPEN menyerahkan projek penambahbaikan infrastruktur berjumlah RM100,000 bagi meningkatkan ekosistem pembelajaran di sekolah berkenaan.

Peruntukan tersebut meliputi penyediaan peralatan baharu di tiga ruang utama iaitu Pusat Akses, Bilik Pemulihan Khas dan Makmal Komputer.

Menurut Julina, inisiatif SAM merupakan komitmen berterusan JAPEN dalam memperkukuhkan jaringan komuniti dan pendidikan.

“Kita mahu memastikan generasi muda mendapat akses kepada kemudahan pembelajaran yang lebih baik, selari dengan prinsip MADANI yang menekankan kesejahteraan, inklusiviti dan pembangunan insan.

Julina ketika melihat aktiviti murid di makmal komputer SK Sikamat.

“JAPEN akan terus menjadi rakan strategik kepada sekolah dalam membentuk masyarakat yang peka, berilmu dan berdaya saing,” katanya.

Sempena majlis penyerahan tersebut, Program PENTARAMA Homecoming (Edisi Khas) turut dianjurkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti sembang santai kenegaraan, peragaan busana tradisional dan permainan interaktif yang mendapat sambutan menggalakkan daripada warga sekolah.

Turut hadir Pengarah JAPEN Negeri Sembilan Supian Musa, Guru Besar Mohd Rashed Sahrom, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan Aminuddin Kamisan, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Seremban Norazam Nayan serta Yang Dipertua PIBG Dr. Ahmad Alshahir Alsabri.

-RI