SEJARAH JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

The Malayan Information Agency ditubuhkan pada tahun 1910 oleh The Government of the Federated Malay States yang beroperasi di Malaya House, Trafalgar Square, London. Tujuan utama penubuhan agensi ini ialah menjalankan fungsi sebagai Trade Commissionership for Malaya untuk menarik minat dan menyediakan maklumat berkaitan perdagangan dan eksport Malaya. Agen Mr. V. A Lowinger, C.B.E dan Timbalan Agen, Mr. E. Jago mengetuai tiga ahli Advisory Board yang berpengalaman dan pernah menetap lama di Malaya.

 

Malay States Information Agency kemudian telah berpindah ke Malaya House, 57, Charing Cross, London. Pada tahun 1927, Agen H.B Ellerton mengetuai Advisory Board bersama Timbalan Agen, Mr. J.F. Owen sehingga tahun 1930 beliau berkhidmat bersama Agen, Mr. H.W. Thomson C.M.G. Pada tahun 1930, beliau terus mengetuai Advisory Board dengan beberapa orang pegawai yang terdiri daripada Mr. F.E Mair (Mining Agent), Mr. Eric Mcfadyen (Planting Agent), Mr. J. Mitchell (Commerce), Mr. E.C.H Wolff C.M.G. (Late Malayan Civil Service) dan Mr. H.S Banner F.R.G.S (Pegawai Publisiti) yang juga staf agensi.

 

Dalam mengembalikan imej British yang terjejas akibat kekalahan dengan Jepun, British Military Administration di Tanah Melayu yang mula mentadbir pada 5 September 1945 dan tamat pada 31 Mac 1946. Pada 24 September 1945, Department of Publicity and Printing telah ditubuhkan di Kuala Lumpur dengan diketuai oleh Major Walker sebagimana yang tercatat dalam Minit Deputy Chief Civil Affair Officer (D.C.C.A.O) Conference bertarikh 24 September 1945. Colonel Dumeresque telah dilantik sebagai Director, Department of Publicity and Printing, British Military Administration di Singapura. British Military Administration, Malaya, pada masa itu berhadapan dengan keadaan sebahagian rakyat negara telah hilang kepercayaan terhadap mereka selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Beberapa pertubuhan kebangsaan telah diwujudkan oleh anak negeri dengan matlamat untuk membebaskan Tanah Melayu daripada sebarang penjajahan kuasa asing.

 

Dalam proses transisi pentadbiran British Military Administration kepada Civil Government, berkuat kuasa pada 18 Mac 1946, Department of Publicity and Printing dibahagi kepada A Public Relations Department Malayan Union diketuai oleh Director Mr. M.C. ff. Sheppard di Kuala Lumpur, A Pan Malayan Broadcasting Department, Singapore di bawah Director Colonel J.S Dumerque, A Public Relations Department, Singapore diurus oleh LT. Col. Thomson. Government Printing Departments diasingkan di Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura serta British Military Administration, Publicity and Printing dikekalkan sementara menunggu pelepasan atau penghantaran pegawai berdasarkan keperluan.

 

A Public Relations Department Malayan Union iaitu Jabatan Perhubungan Raya telah disusun semula untuk disesuaikan dengan pentadbiran sivil dan perkembangan semasa. Pada tahun 1945 pusat-pusat penerangan telah ditubuhkan di bandar-bandar utama di seluruh negara sebagai tempat orang ramai berkunjung untuk membaca buku, mendengar radio dan melihat gambar-gambar yang dipamerkan mengenai peristiwa-peristiwa di dalam dan luar negara. Antaranya ialah Pusat Penerangan di Java Street, Kuala Lumpur yang ditubuhkan pada 20 Oktober 1945. Berdasarkan Laporan Department of Public Relations, Federation of Malaya beroperasi di Oriental Building, Mountbatten Road, Kuala Lumpur dan Director of Public Relations ialah J.N. McHugh pada Januari 1949. Antara perkhidmatan publisiti yang disediakan oleh Department of Public Relations ialah Press Publicity, Public Relations Publications (Pamphlets and booklets produce for Governments etc). Mobile Public Address Units, Publicity campaigns and other publicity media. Pegawai Perhubungan Awam (Malay States & Settlement Public Relations Officers) juga ditempatkan negeri-negeri Tanah Melayu.

 

Jabatan Penerangan merupakan nama yang diguna pakai pada tahun 1950 menggantikan Department of Public Relations selaras dengan fungsinya sebagai lidah rasmi kerajaan untuk menerangkan kepada rakyat mengenai falsafah, dasar, dan wawasan negara. Selaras dengan perkembangan terkini dunia tanpa sempadan tanggungjawab Jabatan semakin mencabar dalam mentransformasikan perkhidmatan agar Libat Urus (Engagement), Turun Padang (Outreach), Analitik Data Raya (Big Data Analytic) dan Pembujukan (Advocacy) dapat dilaksana menggunakan teknologi digital dan komunikasi bersemuka.

 

Jabatan diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Malaysia (KKMM) selepas Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK). Ibu Pejabat Jabatan Penerangan Malaysia beroperasi di Kompleks KKMM mulai tahun 2009 dan berkomunikasi seluruh negara melalui pejabat penerangan negeri dan daerah mendekati pelbagai lapisan masyarakat di peringkat akar umbi.

Front Image

Bangunan Kompleks KKMM Yang Menempatkan Ibu Pejabat Jabatan Penerangan Malaysia.