KONFLIK ASIA BARAT: KERAJAAN RANGKA PELAN KESIAPSIAGAAN PASTIKAN EKONOMI AMPUH

KONFLIK ASIA BARAT: KERAJAAN RANGKA PELAN KESIAPSIAGAAN PASTIKAN EKONOMI AMPUH
Category: Liputan Berita 2026

Laporan/foto: Sarah Nur/Mohammad Ezwandi (Perak)

IPOH, 29 Mac (MalaysiaAktif) – Kerajaan telah merangka pelan kesiapsiagaan bagi mendepani sebarang kemungkinan gangguan rantaian bekalan global susulan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat melibatkan Israel, Amerika Syarikat dan Iran.

Muhammad Kamil ketika menyampaikan ucapan
perasmian di Institut Latihan Kementerian Kesihatan
Malaysia Sultan Azlan Shah, semalam.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata sekiranya konflik tersebut kekal terkawal, fokus kerajaan adalah mengekalkan subsidi bahan api buat sementara waktu dan mempergiat penguatkuasaan terhadap aktiviti penyeludupan serta pencatutan.

“Namun, sekiranya konflik berlarutan dan tekanan harga minyak dunia menjadi terlalu tinggi, kerajaan akan beralih kepada langkah strategik termasuk mengkaji semula struktur subsidi secara lebih bersasar agar bantuan benar-benar sampai kepada golongan layak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Satelit: Karnival Kita MADANI X Program MADANI Rakyat (PMR) 2.0 Peringkat Negeri Perak 2026 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah, di sini semalam.

Beliau turut menambah bahawa kerajaan bersedia menyediakan pakej rangsangan khusus sekiranya perlu bagi menyokong sektor pertanian dan pembuatan yang terjejas akibat krisis tersebut.

Menurutnya kerajaan juga terus komited mempertahankan harga petrol BUDI95 pada kadar RM1.99 seliter buat masa ini bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan lonjakan harga pasaran dunia.

 

Langkah itu katanya diambil meskipun beban subsidi petrol negara telah meningkat daripada RM315 juta kepada RM2.0 bilion sebulan, manakala diesel mencecah RM1.3 bilion sebulan.

“Langkah besar ini kita ambil supaya kos pengangkutan dan harga barang asas tidak melambung mendadak. Setakat ini, sistem menguruskan sekitar 3 juta transaksi sehari untuk 16.5 juta penerima layak BUDI RON95,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Kamil menyeru rakyat agar mengamalkan perbelanjaan berhemah dengan memanfaatkan inisiatif seperti Jualan RAHMAH dan Jualan Agro MADANI untuk mendapatkan bekalan keperluan pada harga lebih rendah.

Terdahulu, program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dengan kerjasama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) itu adalah sebagai promosi awal bagi Program MADANI Rakyat (PMR) Perak yang akan berlangsung pada 3 hingga 5 April ini di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru.

-RI