PERSIAPAN SUKAN SEA 2027 DI PULAU PINANG MENCAPAI 90 PERATUS SIAP

PERSIAPAN SUKAN SEA 2027 DI PULAU PINANG MENCAPAI 90 PERATUS SIAP
Category: Liputan Berita 2026

Lapoaran/foto: Mastura Mohamed Rowther/Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 14 April (MalaysiaAktif) – 90 peratus projek berkaitan di Pulau Pinang yang merupakan kluster utama penganjur Sukan SEA Malaysia 2027 telah siap dilaksanakan.

Chow Kon Yeow (tengah) bersama barisan
ketua jabatan dan agensi yang menerima
Watikah Pelantikan Jawatankuasa Induk
Pengelola Sukan SEA Malaysia 2027

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pencapaian itu mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memenuhi standard penganjuran bertaraf antarabangsa.

“Kerajaan Negeri komited memastikan segala persiapan daripada penaiktarafan fasiliti sukan, kesiapsiagaan logistik, pembangunan tenaga kerja hinggalah kepada pengurusan acara bertaraf antarabangsa yang dilaksanakan secara menyeluruh dan berimpak tinggi.

“Penganjuran ini bukan sahaja memperkukuh pembangunan sukan, malah merangsang pertumbuhan ekonomi negeri melalui sektor pelancongan, hospitaliti dan industri sokongan, di samping meninggalkan legasi jangka panjang kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Insentif Skim Kemenangan Sukan Para ASEAN Thailand 2025 dan Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pengelola Induk Sukan SEA Malaysia 2027, di sini semalam.

Menurut beliau lagi, penyerahan watikah pelantikan tersebut merupakan satu amanah besar yang perlu digalas dengan penuh komitmen, profesionalisme dan integriti.

Dalam pada itu, Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Pulau Pinang turut diberi kepercayaan menggalas peranan sebagai antara jawatankuasa pengelola dalam penganjuran temasya berprestij itu.

Hasmiza Hussin (dua dari kiri) antara penerima
watikah pelantikan.

Pengarahnya Hasmiza Hussin, memaklumkan pihak kerajaan negeri bersama Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) dan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) telah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan bengkel penyelarasan awal yang melibatkan semua jabatan serta agensi berkaitan.

“Penglibatan JAPEN dalam penganjuran tersebut merupakan satu penghormatan besar dalam penganjuran ini yang mana Pulau Pinang akan menjadi kluster bagi enam acara iaitu sepak takraw, snuker dan biliard, judo, tinju, pingpong serta bola lantai,” katanya.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Dato’ Seri Zulkifli Long, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Daniel Gooi Zi Sen serta Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang Harry Chai Heng Hua.

-RI