SEMUA AGENSI, JABATAN KEMENTERIAN PERLU BERI PENERANGAN JELAS ISU SELAT HORMUZ KEPADA RAKYAT – FAHMI

SEMUA AGENSI, JABATAN KEMENTERIAN PERLU BERI PENERANGAN JELAS ISU SELAT HORMUZ KEPADA RAKYAT – FAHMI.
Category: Liputan Berita 2026

PUTRAJAYA – Semua agensi di bawah Kementerian Komunikasi perlu memberikan penerangan yang lebih jelas dan mendalam kepada rakyat mengenai situasi semasa di Selat Hormuz susulan konflik yang sedang berlaku di Asia Barat.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu penting bagi memastikan rakyat memahami perkembangan sebenar serta kesan konflik berkenaan terhadap ekonomi global dan negara.

“Realitinya pada hari ini sedang berlaku satu konflik, satu peperangan di Asia Barat. Dan kesan daripada konflik dan peperangan ini yang paling membimbangkan ialah di satu kawasan yang disebut sebagai Selat Hormuz.

“Dan saya minta supaya Jabatan Penerangan, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) kita perlu bagi penerangan yang lebih mendalam apa yang sebenarnya berlaku di Selat Hormuz,” katanya ketika berucap semasa Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Selat Hormuz merupakan laluan penting bagi negara-negara di Teluk Asia Barat untuk mengeksport minyak ke pasaran antarabangsa.

“Selat Hormuz ni adalah selat yang mana semua negara-negara di kawasan Teluk di Asia Barat mengeksport, menghantar, meletakkan atas kapal hasil daripada, hasil minyak tapisan semua dimasukkan atas kapal dan kapal-kapal akan melalui Selat Hormuz untuk ke destinasi masing-masing.

“Termasuklah bagi Malaysia, kita menapis minyak jenis Arab Light dan Arab Heavy untuk dieksport. Minyak yang digali dalam negara kita dieksport, manakala keperluan domestik pula dipenuhi melalui import,” katanya.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memaklumkan bekalan minyak negara ketika ini masih mencukupi untuk tempoh sekurang-kurangnya dua bulan.

Dalam masa sama, Fahmi berkata, perkembangan di Selat Hormuz menunjukkan sekurang-kurangnya 400 kapal tidak dapat melalui laluan berkenaan setakat semalam.

“Masa yang sama kalau kita lihat apa yang berlaku setakat semalam di Selat Hormuz sekurang-kurangnya 400 kapal tidak dapat melalui kawasan itu untuk pergi ke negara-negara destinasi mereka.

“Ini akan ada kesan kepada negara-negara terutama yang tidak ada stok bekalan minyak dan kita telah mula membaca laporan-laporan berita dari negara-negara sama ada di sekitar rantau Asia Tenggara atau negara-negara yang lain,” katanya.

Menurut beliau, antara kesan paling ketara ialah peningkatan harga minyak di beberapa negara di rantau ini.

Bagaimanapun beliau berkata, Kerajaan MADANI mengambil langkah bagi melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga minyak di pasaran.

“Tapi apa yang Kerajaan MADANI lakukan untuk melindungi rakyat daripada kesan perubahan yang terlalu tinggi bagi pasaran biasa, bagi orang yang bukan rakyat Malaysia ada kenaikan berkuat kuasa hari ini, tengah malam tadi.

“Tapi untuk semua rakyat Malaysia, warganegara kita kekal menerima RON95 sebanyak 300 liter kuota kita setiap seorang pada harga RM1.99 seliter,” katanya.

Pada Rabu, Anwar mengumumkan harga petrol RON95 bersubsidi di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dikekalkan pada RM1.99 seliter, walaupun harga pasaran global meningkat susulan konflik di Asia Barat.

Beliau menegaskan, bekalan minyak di Malaysia masih terkawal, dan semakan bersama Petronas menunjukkan stok produk petroleum negara mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei ini.