jonathan2023-10-27T17:45:55+08:00[vc_row][vc_column][vc_empty_space][vc_single_image image="2740" img_size="full" alignment="center"][vc_column_text]LANGKAWI, 19 Jan -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo menyifatkan Projek Demonstrasi 5G (5GDP) yang sedang berlangsung di pulau ini sebagai satu kejayaan besar untuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selaku penggerak sektor teknologi generasi kelima atau 5G.
Gobind yang mengiringi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam lawatan ke 5GDP-sektor perubatan di Hospital Sultanah Maliha di sini hari ini, turut mengucapkan tahniah kepada Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak di atas usaha tersebut.
“Bagi saya ianya satu kejayaan yang sangat besar dan tahniah kepada SKMM.
"Saya rasa hari ini dan esok pagi kita akan lihat lebih banyak lagi contoh teknologi yang digunakan dan bagaimana ia dapat memperbaiki sistem kerja atau pun perniagaan kita,” katanya kepada wartawan.
Pengkomersialan teknologi 5G dijangka dilancarkan pada suku ketiga tahun ini dan seterusnya memartabatkan Malaysia sebagai salah satu perintis 5G di rantau ASEAN.
“Saya harap dalam masa terdekat iaitu pada pertengahan tahun ini kita dapat menyaksikan 5G di seluruh Malaysia khususnya di tempat-tempat tertentu dahulu dan akan difokuskan kepada industri-industri tertentu,” kata beliau.
Menurut Gobind, teknologi 5G dalam sektor perubatan juga dapat membantu pihak hospital memberi rawatan kepada pesakit dalam tempoh yang pantas.
Syarikat telekomunikasi Digi Telecommunications Sdn Bhd dengan kerjasama pasukan perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultanah Maliha, melaksanakan projek ambulans yang membolehkan pemindahan data secara masa nyata dan seterusnya mempercepatkan diagnosis menggunakan elektrokardiogram (ECG) dan imbasan ultra bunyi dari dalam kenderaan itu.
Digi turut mengadakan demonstrasi konsultasi perubatan jarak jauh oleh pengamal perubatan hospital itu dengan pegawai perubatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi merawat pesakit kemalangan jalan raya.
Teknologi 5G dalam teleperubatan pula telah dijayakan oleh syarikat telekomunikasi U-Mobile Sdn Bhd dan peranti teleperubatan MedCom.
-- BERNAMA[/vc_column_text][/vc_column][/vc_row]