1 OGOS 2022, WARTA ORIENTAL, JAPEN RANAU RAI KEMENANGAN PESERTA KUIZ ASEAN

Category: Liputan Berita 2022

[vc_row][vc_column][vc_empty_space][vc_single_image image=”17353″ img_size=”full” alignment=”center”][vc_column_text]

RANAU: Jabatan Penerangan (JaPen) Daerah Ranau meraikan peserta dari daerah ini yang memenangi Kuiz ASEAN, anjuran Jabatan itu di sini, pada 22 Julai lepas.

Pegawai JaPen Ranau, Kenny Thomas, berkata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Salleh, Sky Broxlyne Roy Maxwill, yang menjuarai Kuiz ASEAN Peringkat Kebangsaan 2022, akan berentap di peringkat serantau.

Selain Sky, 15, dua lagi peserta iaitu George Loh Ing Won dari Sarawak dan Mohammad Adam Haiqal dari Terengganu akan turut bersama Sky ke peringkat serantau, yang dijangka berlangsung pada hujung tahun ini.

Sky berkata beliau membuat persiapan selama dua bulan untuk acara itu, dan berharap lebih ramai pelajar mengambil inisiatif untuk mengetahui hal ehwal ASEAN kerana secara umumnya ia merupakan antara usaha untuk mewujudkan keamanan di Asia Tenggara.

“Kita juga perlu memahami seberapa banyak perkara seperti budaya, ekonomi dan sejarah kerana ia dapat meningkatkan pengetahuan dan persediaan pada masa hadapan, contohnya apabila melancong kelak.

“Terima kasih kepada pihak sekolah, guru-guru, ibu bapa, rakan-rakan dan semua pihak yang telah memberi inspirasi serta sokongan kepada saya dalam menyertai pertandingan ini,” katanya ketika ditemui media sejurus selepas pengumuman keputusan langsung itu, di Pejabat Penerangan Daerah Ranau.

Pertandingan dwitahunan itu menerima 54,796 penyertaan dari seluruh negara dengan 36,508 daripadanya terdiri daripada murid sekolah dan 18,288 lagi dalam kategori terbuka.

Daripada 20 orang peserta yang berentap pada peringkat akhir secara dalam talian itu, lima pelajar SMK Mat Salleh, Ranau terpilih mewakili Sabah.

Rakan sepasukan Sky, Abbel Sinusi mendapat tempat keempat, Sahana Nair A/P Ravi pula mendapat tempat kelima manakala Fiffydrina Henry dan Rayen Nicholson Samson masing-masing memenangi hadiah saguhati.

Sementara itu, Kenny berkata JaPen adalah penggerak utama pertandingan ini dan kali ini, JaPen Ranau menjadi tuan rumah.

“Kami adalah tuan rumah. Kami melakukan promosi untuk mendapatkan peserta dari seluruh Malaysia bermula pada 1 Jun sehingga 30 Jun.

“Pertandingan ASEAN Kuiz ialah program dwitahunan yang dijalankan secara berkala dalamkalendar ASEAN-COCI atau Committee of Culture and Information (Jawatankuasa Kebudayaan dan Maklumat), sebuah badan dalam ASEAN.

“Peringkat Kebangsaan dianjurkan di negara anggota ASEAN,” katanya.

Kenny menjelaskan, objektif utama pertandingan itu adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kefahaman rakyat Malaysia berkaitan pertubuhan serantau ASEAN, terutama dalam kalangan generasi muda.

“Pertandingan pada tahun ini telah memasuki edisi ke-10, sejak pelaksanaannya pada 2002, dan pertandingan seterusnya ialah pada tahun 2024,” katanya.

Pertandingan Kuiz ASEAN Peringkat Kebangsaan 2022 dijalankan secara dalam talian dan boleh disertai secara percuma melalui dua kategori, iaitu: Kategori Murid Sekolah (berumur 15 hingga 17 tahun) yang sedang menuntut di sekolah menengah kerajaan / swasta; dan Kategori Terbuka (warganegara Malaysia) berumur 18 tahun dan ke atas.

Penganjuran pertandingan ini juga adalah bagi memilih tiga peserta terbaik berumur 15 hingga 17 tahun bagi mewakili Malaysia ke Pertandingan Kuiz ASEAN Peringkat Rantau di Myanmar, pada suatu tarikh yang akan dimaklumkan oleh sekretariat pertandingan tersebut kelak.[/vc_column_text][/vc_column][/vc_row]