SEJARAH

SEJARAH JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

Penubuhan Agensi Penerangan di London (1910 - 1945)

Sejarah perkhidmatan penerangan kerajaan bermula pada 1910 apabila The Government of the Federated Malay States menubuhkan The Malayan Information Agency di Malaya House, Trafalgar Square, London. Ia berfungsi sebagai Trade Commissionership for Malaya bagi menarik minat pelabur serta menyediakan maklumat berkaitan perdagangan dan eksport Tanah Melayu.

Agensi tersebut diketuai oleh Agen, Mr. V. A. Lowinger, C.B.E., dan Timbalan Agen, Mr. E. Jago, dengan sokongan tiga ahli Advisory Board yang mempunyai pengalaman luas dan pernah menetap lama di Tanah Melayu.

Pada 1 Oktober 1910, agensi tersebut dikenali sebagai Malay States Information Agency dan beroperasi di Queen Victoria Street, London sebelum berpindah ke 88 Cannon Street pada 1911 hingga 1926. Pada 1921, Advisory Board diketuai oleh Sir Edward L. Brockman.

Pada 1927, Malay States Information Agency berpindah ke Malaya House, 57 Charing Cross, London dengan Advisory Board diketuai oleh Agen, Mr. H. B. Ellerton yang dibantu Timbalan Agen, Mr. J. F. Owen. Menjelang 1930, kepimpinan Advisory Board diterajui oleh Mr. H. W. Thompson, C.M.G., dan Owen terus berkhidmat sebagai Timbalan Agen. Keanggotaan Advisory Board ketika itu ialah Mr. F. E. Mair sebagai Agen Mining, Mr. Eric Mcfadyen (Planting), Mr. J. Mitchell (Commerce), Mr. E.C.H Wolff, C.M.G. (Late Malayan Civil Service) dan Mr. H.S Banner, F.R.G.S (Pegawai Publisiti) yang juga staf agensi.

Sepanjang tempoh tersebut, agensi berperanan mempromosikan hasil keluaran, peluang perdagangan, pelaburan dan pelancongan di Tanah Melayu melalui penerbitan, bahan promosi serta peta yang dijual kepada orang ramai.

Penubuhan Department of Publicity and Printing (1945 - 1946)

Bagi mengembalikan imej British yang terjejas akibat kekalahan dengan Jepun, British Military Administration di Tanah Melayu yang mula mentadbir pada 5 September 1945 telah menubuhkan Department of Publicity and Printing pada 24 September 1945 di Kuala Lumpur.

Penubuhan jabatan ini direkodkan dalam Minit Deputy Chief Civil Affair Officer (D.C.C.A.O.) Conference dan diketuai oleh Major Walker. Jawatan Director, Department of Publicity and Printing, British Military Administration di Singapura pula disandang oleh Colonel J. S. Dumeresque.

British Military Administration di Tanah Melayu ketika itu berhadapan dengan kehilangan kepercayaan sebahagian rakyat susulan pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Beberapa pertubuhan kebangsaan telah diwujudkan oleh anak negeri dengan matlamat untuk membebaskan Tanah Melayu daripada sebarang penjajahan kuasa asing.

Era Jabatan Perhubungan Raya (1946 - 1950)

Dalam proses peralihan daripada pentadbiran tentera kepada pentadbiran sivil, Department of Publicity and Printing telah disusun semula berkuat kuasa pada 18 Mac 1946. Melalui penyusunan semula tersebut, fungsi jabatan dibahagikan kepada tiga entiti utama iaitu:

  • A Public Relations Department, Malayan Union yang diketuai oleh Mr. M. C. ff. Sheppard di Kuala Lumpur;
  • A Pan-Malayan Broadcasting Department di Singapura yang diketuai oleh Colonel J. S. Dumeresque; dan
  • A Public Relations Department, Singapore yang diuruskan oleh Lieutenant Colonel Thomson.

Dalam tempoh yang sama, Government Printing Department di Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura telah diasingkan, manakala British Military Administration, Publicity and Printing dikekalkan sementara menunggu pelepasan atau penghantaran pegawai berdasarkan keperluan.

Jabatan ini disusun semula untuk disesuaikan dengan pentadbiran sivil mulai 1 April 1946 dan diberi nama baru iaitu Jabatan Perhubungan Raya (Department of Public Relations).

Perkembangan Infrastruktur Penerangan Awam

Seiring usaha memperluas penyampaian maklumat kepada masyarakat, pusat-pusat penerangan mula diwujudkan di bandar utama di seluruh negara sejak 1945. Pusat ini berfungsi sebagai lokasi orang ramai mendapatkan maklumat melalui bahan bacaan, siaran radio dan koleksi gambar yang memaparkan perkembangan semasa di dalam dan luar negara.

Antara pusat penerangan terawal ialah Pusat Penerangan di Java Street, Kuala Lumpur yang ditubuhkan pada 20 Oktober 1945. Department of Public Relations, Federation of Malaya pula beroperasi di Oriental Building, Mountbatten Road, Kuala Lumpur.

Pada Januari 1949, Director of Public Relations, J. N. McHugh dilaporkan berkata antara perkhidmatan yang disediakan ketika itu termasuk publisiti akhbar, penerbitan perhubungan awam seperti risalah dan buku kecil untuk kerajaan dan agensi berkaitan, unit siar raya bergerak, kempen publisiti serta pelbagai medium komunikasi lain.

Bagi memperkukuh penyampaian maklumat kerajaan, Pegawai Perhubungan Awam (Malay States and Settlement Public Relations Officers) turut ditempatkan di negeri-negeri Tanah Melayu.

Penubuhan Jabatan Penerangan Malaysia (1950)

Pada 1950, nama Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) digunakan bagi menggantikan Jabatan Perhubungan Raya (Department of Public Relations) selaras dengan fungsinya sebagai saluran komunikasi rasmi kerajaan untuk menerangkan kepada rakyat mengenai falsafah, dasar dan wawasan negara.

Seiring perkembangan terkini dunia tanpa sempadan, tanggungjawab JAPEN semakin mencabar dalam mentransformasikan perkhidmatan agar libat urus (engagement), turun padang (outreach), analitik data raya (big data analytic) dan pembujukan (advocacy) dapat dilaksanakan menggunakan teknologi digital dan komunikasi bersemuka.

Pengukuhan Peranan di bawah Kementerian Bertanggungjawab

Pada 1961, JAPEN diletakkan di bawah Kementerian Penerangan Malaysia. Seiring perubahan landskap pentadbiran dan keperluan semasa, kementerian yang menaungi jabatan ini telah melalui beberapa penjenamaan iaitu Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan pada tahun 2008; Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (2013); Kementerian Komunikasi dan Digital (2022) dan Kementerian Komunikasi (2023 hingga kini).

Ibu pejabat JAPEN mula beroperasi di Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Presint 4, Putrajaya pada tahun 2009. Bangunan yang sama terus menjadi lokasi ibu pejabat jabatan sehingga kini. Selaras dengan penjenamaan semula bangunan pada 27 Mei 2025, kompleks tersebut kini dikenali sebagai Menara Komunikasi.

Selain ibu pejabat, JAPEN turut beroperasi melalui rangkaian Pejabat Penerangan Negeri dan Daerah di seluruh negara bagi memastikan penyampaian maklumat kerajaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan kepada pelbagai lapisan masyarakat.