PUTRAJAYA: Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu yang dilancarkan hari ini, tidak akan mengekang kebebasan media negara ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menegaskan kod etika itu sebenarnya wujud sejak 1989 dan dilancarkan semula selepas pihaknya membuat penambahbaikan tertentu.
“Kod etika ini telah wujud sejak 1989. Kita hanya menambah baik. Memandangkan ada beberapa perkara sebagai contoh kalau kita teliti perkara kelapan (dalam kod etika).
“Wartawan perlu memberi keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan antara lain sebab perkembangan teknologi,” katanya selepas Majlis Pelancaran Kod Etika Wartawan Malaysia di kementeriannya hari ini.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Mohd Sukari Ab Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI) Datuk Mustapa Omar.
Kod Etika Wartawan Malaysia mengandungi lapan etika utama iaitu wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk, hendaklah telus dan berintegriti serta berlaku adil dalam menyampaikan informasi.
Etika lain adalah pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi, kesahihan dan ketetapan maklumat dan wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber.
Selain itu, wartawan juga perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka dan wartawan perlu memberi keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, dengan adanya kod etika ini, prinsip seperti kebebasan bersuara akan dipertahankan pihaknya kerana ia termaktub dalam Perlembagaan.
“Tapi pada masa yang sama perlu ada satu peningkatan kesedaran dan kemahiran dalam kalangan wartawan untuk mendepani zaman termasuk isu AI (kecerdasan buatan) dan media sosial,” katanya.
Fahmi berkata, Kod Etika Wartawan Malaysia ini adalah versi baharu yang diteliti semula oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) bagi menggantikan kod etika yang diguna pakai sejak 35 tahun lalu.
“Kod Etika Wartawan ini dimurnikan dengan pembabitan wakil wartawan serta organisasi media agar dapat mengambil kira peranan pengamal media tanpa mengganggu gugat, mengongkong atau menyekat kebebasan bersuara wartawan dalam membuat pelaporan,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan, pihaknya akan meminta MPI untuk menghasilkan satu modul khusus berkaitan penggunaan kecerdasan AI bagi manfaat media di negara ini.
“Ada beberapa perkara tetapi penting untuk media mengetahui bukan hanya untuk menghasilkan bahan tetapi juga untuk mengenalpasti sebagai contoh ‘deep fake’.
“Dan ini adalah penipuan yang menyalahgunakan kandungan menggunakan AI untuk menyebar berita palsu.
“Saya harap dalam masa yang tak terlalu lama kita boleh ada satu modul yang boleh menjemput media untuk meneliti dan mengikutinya,” katanya.
BERIKUT adalah tanggungjawab wartawan
1. Wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk serta ejen pemudah cara dialog
2. Wartawan hendaklah telus dan berintegriti ketika menjalankan tugas
3. Wartawan digalakkan berusaha secara konsisten untuk berlaku adil dalam menyampaikan maklumat
4. Pemberitaan tidak boleh dipengaruhi kepentingan peribadi
5. Kesahihan dan ketepatan maklumat perlu disemak
6. Wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber
7. Wartawan perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka
8. Wartawan perlu memberikan keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan
Dokumen rasmi punca kuasa
Sementara itu, Fahmi berkata Kod Etika Wartawan Malaysia juga adalah dokumen rasmi sebagai punca kuasa dan rujukan bagi tujuan pengeluaran serta pembatalan kad perakuan media.
Kad perakuan media yang dikeluarkan JaPen adalah dokumen pengenalan diri bagi pengamal media daripada agensi dan syarikat media berdaftar.
“Kad perakuan media digunakan oleh wartawan dan organisasi media untuk membuat pelaporan acara rasmi kerajaan,” katanya.
Fahmi berkata setakat 16 Februari lalu, ada seramai 9,750 pengamal media berdaftar dengan kad perakuan media JaPen, melibatkan 152 agensi media.
Katanya empat daripada agensi media itu merupakan media rasmi kerajaan, 38 media tempatan, 60 media dalam talian dan 50 media antarabangsa.
“Saya berharap warga media terus mendedikasikan dunia kewartawanan ke arah yang positif demi kemaslahatan rakyat dan negara,” katanya.
Kerajaan katanya, sentiasa komited dalam menjaga kebebasan pengamal media untuk menyampaikan maklumat dan pemberitaan tanpa halangan daripada pihak yang berkepentingan.
M’sia ke-73 daripada 180 negara dalam aspek kebebasan media
Laporan Indeks Kebebasan Media bagi 2023 oleh Reporters Without Borders (RSF) menempatkan Malaysia pada kedudukan ke-73 daripada 180 buah negara.
“Keunikan landskap media di Malaysia semestinya tidak tertakluk kepada cara penilaian yang berlandaskan media barat. Pengamal media di Malaysia sentiasa bertindak mengikut keadaan negara dengan mengambil kira undang-undang sedia ada.
“Hal ini membuktikan ada pergerakan yang dinamik dalam penyampaian maklumat oleh wartawan. Dalam keadaan dunia yang serba moden ini, medium penyampaian maklumat sentiasa berkembang,” katanya.