PUTRAJAYA: Kabinet meluluskan penubuhan Majlis Media Malaysia dan penggubalan Rang Undang-undang (RUU) khusus mengenainya yang dijangka dibawa ke mesyuarat kedua penggal ketiga Parlimen ke-15, Jun nanti.
Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata draf RUU itu sebenarnya sudah diluluskan Kabinet yang terdahulu dan sudah tersenarai untuk dibentangkan pada 2019, namun tergendala akibat perubahan kerajaan ketika itu.
Dengan terbentuknya Kerajaan Madani, perkara itu diteliti semula dan ada beberapa penyelarasan dibuat bagi memantapkan lagi RUU itu.
“Jabatan Peguam Negara sedang menyiapkan draf RUU ini untuk dibawa semula kepada Jemaah Menteri bagi mendapatkan kelulusan sebelum ia dibawa ke Parlimen untuk digubal,” katanya dalam sidang media di Kementerian Komunikasi, hari ini.
Semalam, kerajaan melancarkan semula Kod Etika Wartawan Malaysia dan memberi jaminan langkah itu tidak mengekang kebebasan media dan pengamal media di negara ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, kod etika wartawan ini telah wujud pada 1989, namun ia kini ditambah baik untuk mendepani cabaran teknologi masa kini.
Menerusi kod etika yang ditambah baik ini, prinsip kebebasan bersuara akan kekal dipertahankan kerana ia termaktub dalam Perlembagaan.
Lapan Kod Etika Wartawan Malaysia yang digariskan itu membabitkan wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk serta ejen pemudah cara dailog, perlu telus dan berintegriti, berusaha secara konsisten untuk adil dalam menyampaikan informasi dan pemberitaan tidak boleh dipengaruhi oleh kepentingan peribadi.
Turut tersenarai, kesahihan dan ketepatan maklumat perlu disemak, menghormati privasi dan kerahsian sumber, memahami undang- undang berkaitan ruang lingkup tugasan dan memberi keutamaan untuk meningkatkan kemahiran secara berterusan.
Bukan kod etika baharu
Menjawab gesaan beberapa pihak supaya Majlis Media Malaysia ditubuhkan dahulu sebelum kod etika wartawan dilaksanakan, Fahmi berkata, kod etika itu hanya dilancarkan semula selepas ditambah baik bukannya satu kod baharu diperkenalkan.
Katanya, kod etika wartawan 2024 tetap mengikut kod etika induk pada 1989 dan ia menggugurkan perkataan ‘mengekang komunisme’ kerana komunisme ini tidak lagi wujud di Malaysia.
“Kod etika wartawan dalam konteks Jabatan Penerangan (JaPen) adalah bagi pengeluaran kad perakuan media.
“Ini berasaskan kod etika wartawan induk 1989 dan jika pada masa depan dengan pembentukan Majlis Media Malaysia ia mahu digunakan atau tidak, itu bergantung kepada majlis berkenaan,” katanya