KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sekali lagi menegaskan Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu yang dilancarkan kelmarin, tidak akan mengekang kebebasan media di negara ini.
Menegaskan pihaknya kadangkala melihat komen dibuat berkaitan kod etika itu sebagai tidak adil kepada Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) dan Institut Akhbar Malaysia (MPI) kerana ia sudah ada sejak 1989, beliau berkata, dokumen baharu dan sebelumnya adalah sama.
“Jika anda bandingkan dokumen itu dengan dokumen 1989, ia adalah sama. Mukadimahnya sama, masih ada lapan perkara utama. Ia tidak ada kaitan dengan mengekang kebebasan media. Beberapa komen yang dibuat tidak adil kepada JaPen dan MPI.
“Pada pelancaran, Ketua Pegawai Eksekutif MPI (Datuk Mustapa Omar) berkata, dokumen ini adalah dokumen yang berasal dari 1989,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Maxis 5G Advanced Trial Showcase di Suria KLCC, di sini hari ini.
Semalam, Lawyers For Liberty (LFL) mendakwa Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu yang dilancarkan kerajaan adalah percubaan untuk mengawal media dengan Pengarahnya, Zaid Malek dilaporkan mendakwa, kuasa JaPen untuk membatalkan akreditasi kad media sebagai ancaman terhadap akhbar.
Kod Etika Wartawan Malaysia mengandungi lapan etika utama, iaitu wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk, hendaklah telus dan berintegriti serta berlaku adil dalam menyampaikan informasi.
Etika lain adalah pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi, kesahihan dan ketetapan maklumat dan wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber.
Selain itu, wartawan juga perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka dan wartawan perlu memberi keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan.
Kod Etika Wartawan Malaysia adalah dokumen rasmi sebagai punca kuasa dan rujukan bagi tujuan pengeluaran serta pembatalan kad perakuan media dikeluarkan JaPen, iaitu dokumen pengenalan diri bagi pengamal media daripada agensi dan syarikat media berdaftar.
Kad perakuan media digunakan oleh wartawan dan organisasi media untuk membuat pelaporan acara rasmi kerajaan dan setakat 16 Februari lalu, ada seramai 9,750 pengamal media berdaftar dengan kad perakuan media JaPen, melibatkan 152 agensi media.
Sementara itu, Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan diminta berbincang meneliti cara terbaik supaya liputan internet dalam bangunan dijadikan sebahagian prosedur operasi standard (SOP) perancangan bandar.
“Dari segi liputan internet dalam bangunan, kebiasaannya dibuat selepas bangunan itu siap. Kita lihat sekarang internet satu utiliti asas, jadi saya lihat ada keperluan untuk adakan perbincangan.
“Insya-Allah selepas ini saya akan minta, sebagai contoh, MCMC untuk berhubung dengan KPKT supaya kita dapat meneliti apakah cara terbaik untuk kita pastikan perancangan bandar dapat memasukkan isu liputan internet dalam bangunan ini sebagai sebahagian daripada SOP,” katanya.