23 OKT 2023, SUMBER KINI, JaPen Selangor Rai 19 Rakan Strategik

Category: Liputan Berita 2023

SHAH ALAM: Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Selangor meraikan 19 rakan strategik yang sama-sama menjayakan program Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023 Peringkat Negeri Selangor di Bunga Tanjung Banquet Hall, Kelab Shah Alam, di sini pada Isnin.

Unit Media Japen Selangor berkata, Majlis Apresiasi HKHM 2023 Peringkat Negeri Selangor pada hari ini bertujuan untuk menghimpunkan 19 rakan strategik sebagai tanda penghargaan atas komitmen serta kerjasama erat yang telah diberikan bermula 16 Julai sehingga 16 September 2023 yang lalu.

“Antara kerjasama erat yang dijalankan bersama rakan strategik ialah Program Semarak Gemilang di tiga lokasi yang terpilih iaitu Hospital Shah Alam, Pelabuhan Klang dan Kampung Setia, Kuang, Gombak.

“Selain itu, penganjuran konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) di lima daerah iaitu daerah Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Gombak dengan penglibatan pelbagai jenis kenderaan termasuk kenderaan pacuan empat roda dan motorsikal berkuasa tinggi,” katanya menerusi kenyataan media pada Isnin.

Menurutnya, selain terlibat dengan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor, JaPen Selangor turut menganjurkan program Merdeka@Komuniti melibatkan 46 lokasi di kesemua sembilan daerah di Selangor.

“Majlis pada hari ini turut berlangsung dengan penyampaian ‘Anugerah Semarak Gemilang’ dengan menyediakan hadiah berupa wang tunai sebanyak RM3,000.00 beserta plak dan sijil penyertaan sempena Majlis Apresiasi HKHM 2023 Peringkat Negeri Selangor.

“Majlis Apresiasi HKHM 2023 ini dihadiri oleh Puan Normaizatulakmal Tujad, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Negeri Selangor,” katanya.