[vc_row][vc_column][vc_empty_space][vc_single_image image=”17319″ img_size=”full” alignment=”center”][vc_column_text]Pelajar perlu melengkapkan diri dengan pelbagai bidang ilmu, bukan sahaja dalam bidang akademik, malah juga dalam kemahiran lain seperti teknik pengucapan awam yang mampu membantu mereka menjadi seorang pemimpin yang baik dan disegani pada masa akan datang.
Pegawai Penerangan Daerah Lahad Datu, Hendry Nurdin berkata pengucapan awam adalah cara atau kaedah seseorang bercakap untuk memberikan ucapan atau pandangan secara formal atau tidak formal kepada khalayak ramai.
Katanya seorang pengucap awam yang baik akan mempunyai kemahiran komunikasi yang tinggi, yang merupakan elemen yang sangat penting memandangkan komunikasi adalah medium terbaik bagi menyampaikan maklumat, berita mahupun untuk mempengaruhi idea dan pemikiran orang lain.
“Kita semua maklum bahawa pelajar turut memain peranan dalam penyebaran ilmu dan maklumat kepada masyarakat, dan ini hanya mampu dilaksana dengan baik sekiranya seorang pelajar mampu menguasai teknik komunikasi seperti pengucapan awam dengan baik,” jelasnya.
Hendry berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah teknik pengucapan awam kepada 200 orang pemimpin pelajar SMK Terusan, di sini, baru-baru ini. Program pengucapan awam itu dianjurkan oleh Jabatan Penerangan (JaPen) Daerah Lahad Datu.
Sementara itu, Muhammad Rayyan Adrishan Muhammad Ansri yang menyertai ceramah itu berkata beliau gembira dipilih mengikuti program seumpama ini yang merupakan penyertaan kali pertamanya.
“Ya, kami diberi pengetahuan mengenai teknik pengucapan awam yang baik dan cara menghadapi perasaan gemuruh ketika berhadapan dengan khalayak ramai,” katanya bila ditanya sama ada program tersebut membantunya menjadi lebih yakin untuk berdepan dengan khalayak ramai.
Pelajar Tingkatan Satu itu berharap program seumpama ini diteruskan pada masa hadapan agar lebih ramai pelajar dapat turut serta untuk memanfaatkan ilmu yang dikongsikan oleh penceramah.
“Program ini sangat baik dan bertepatan dengan keperluan pelajar dalam membentuk keyakinan diri ketika bercakap atau berkomunikasi dengan orang ramai. Saya berbangga anak saya terpilih untuk menyertai program ini,” kata ibunya, Adelaidah Arshad.
Tambahnya, program ini sangat membantu anaknya yang juga seorang pengawas sekolah, supaya berani untuk bercakap di hadapan orang ramai.
“Saya dapat melihat anak saya semakin berkeyakinan tinggi dan lebih kreatif dalam aspek pengucapan awam,” ujarnya.
Adelaidah sangat berharap agar program seumpama ini dijadikan sebagai program tahunan di setiap sekolah dalam memberi gambaran yang jelas mengenai teknik pengucapan awam yang baik di samping membentuk keyakinan diri para pelajar.[/vc_column_text][/vc_column][/vc_row]