MARANG, 3 November – Penyaluran maklumat kepada masyarakat setempat di Terengganu terus dipergiat menerusi program ‘Info On Wheels’,(IOW).
Sehingga kini 848 hebahan inisiatif kerajaan sudah dilakukan meliputi 90 peratus populasi penduduk di negeri itu.
Pengarah Jabatan penerangan negeri, Sait Yaman berkata, setiap Pejabat Penerangan daerah akan melaksanakan program IOW sekurang-kurangnya empat kali sebulan menerusi unit bergerak.
Menurutnya, program yang mula diperkenal tiga tahun lalu itu dilakukan secara berterusan.
Tambah Sait, matlamat utama program berkenaan ialah bagi memastikan penduduk pinggir bandar menerima informasi berkaitan isu semasa dan dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan.
“Kita juga membuat hebahan-hebahan berkenaan beberapa dasar kerajaan. Sehingga hari ini kita ada lebih kurang g 30 tajuk hebahan yang kita buat meliputi peringkat Nasional dan juga peringkat daerah”, katanya di sini.
Mengulas lanjut, Sait turut berkata, antara topik yang menjadi tumpuan adalah isu 3R, maklumat palsu, penipuan dalam talian dan belanjawan 2024.
Uniknya, penyampaian maklumat menerusi IOW ini dijalankan dalam tiga dialek mengikut daerah Terengganu Utara, Selatan dan Barat.