PUTRAJAYA: Tempoh sah laku Kad Perakuan Media (KPM) bagi pengamal media antarabangsa warganegara Malaysia, dikemas kini kepada dua tahun berbanding setahun, berkuat kuasa hari ini.
Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) dalam kenyataan hari ini memaklumkan tempoh KPM bagi pengamal media antarabangsa bukan warganegara Malaysia dan dalam lawatan jangka masa panjang pula ialah selama setahun.
Tempoh sah laku KPM bagi pengamal media rasmi kerajaan dan media tempatan termasuk media dalam talian pula ialah selama dua tahun.
Bagi pengamal media yang mempunyai kontrak secara tahunan dengan organisasi media contohnya kakitangan sambilan seperti pemberita sambilan yang perlu perbaharui kontrak setiap tahun, tempoh sah lakunya ialah setahun.
Tempoh sah laku KPM pula ditetapkan selama enam bulan bagi pengamal media dalam talian yang baru berdaftar dengan JaPen.
“Tempoh ini untuk memastikan media dalam talian tersebut beroperasi secara aktif, sahih dan tidak menyebarkan maklumat palsu. Selepas itu, tempoh kelulusan yang diberikan sama seperti kategori ditetapkan.
“Tempoh sah laku ini akan berkuat kuasa serta merta (7 Mac 2024),” demikian menurut kenyataan itu.
Menurut JaPen, pemegang KPM yang mempunyai tempoh sah laku masih aktif boleh membuat permohonan memperbaharui selepas tamat tempoh KPM masing-masing.
Semua permohonan pendaftaran agensi media baharu dan permohonan KPM yang lain, tertakluk kepada tempoh sah laku KPM yang baru ditetapkan seperti di atas.
Garis panduan yang telah ditetapkan melalui pautan soalan lazim di https://emedia.penerangan.gov.my/ masih berkuat kuasa dan tertakluk kepada semua pemegang KPM JaPen.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil sebelum ini telah meminta JaPen, agar meneliti semula tempoh sah laku KPM JaPen bagi media antarabangsa dan media dalam talian.- BERNAMA