TEMPOH sah laku Kad Perakuan Media (KPM) bagi pengamal media antarabangsa warganegara Malaysia dikemas kini kepada dua tahun berbanding setahun sebelum ini.
Ia merupakan satu di antara kemas kini yang dilakukan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) selepas sebelum ini mereka mendapat beberapa aduan yang meminta penambahbaikan dilakukan.
Antaranya daripada Kelab Pewarta Asing iaitu rakyat Malaysia yang bertugas dengan agensi media antarabangsa mendakwa mereka diberi tempoh singkat sebagai pemegang kad.
“JaPen ingin memaklumkan bahawa tempoh sah laku Kad Perakuan Media yang telah dikemas kini adalah seperti berikut, dua tahun untuk pengamal media rasmi kerajaan, media tempatan (termasuk media dalam talian).
“Dua tahun bagi pengamal media antarabangsa (warganegara Malaysia) (sekarang satu tahun), satu tahun pengamal media yang mempunyai kontrak secara tahunan dengan organisasi media.
“Satu tahun pengamal media antarabangsa (bukan warganegara Malaysia dan dalam lawatan jangka masa panjang),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
JaPen menambah, bagi pengamal media dalam talian yang baru mendaftar, mereka perlu mengemas kini kad media untuk enam bulan sekali.
“Tempoh ini untuk memastikan media dalam talian tersebut beroperasi secara aktif, sahih dan tidak menyebarkan maklumat palsu (disinformation),” katanya lagi.
Bagi pemegang kad media yang mempunyai tempoh sah laku masih aktif boleh membuat permohonan memperbaharui selepas tamat tempoh masing-masing.
“Semua permohonan pendaftaran agensi media baharu dan permohonan KPM yang lain adalah tertakluk kepada tempoh sah laku KPM yang baru ditetapkan seperti di atas.
“Garis panduan yang telah ditetapkan melalui pautan Soalan Lazim di https://emedia.penerangan.gov.my/ masih berkuatkuasa dan tertakluk kepada semua pemegang KPM JaPen,” katanya.