Bebas News : ‘Malaysia MADANI – Jiwa Merdeka’ tema Hari Kebangsaan

Category: Liputan Berita 2024

PUTRAJAYA — Logo Malaysia Madani sekali lagi dipilih sebagai logo Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024.p, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, keputusan penggunaan semula logo itu yang digunakan tahun lepas diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“ ‘Malaysia MADANI – Jiwa Merdeka’ pula dipilih sebagai tema sambutan HKHM 2024,” katanya pada Majlis Pengumuman Logo dan Tema HKHM 2024 di kementeriannya di sini, hari ini.

Fahmi berkata ‘Malaysia MADANI’ tunjang kemakmuran dan kemajuan negara melalui dukungan enam nilai teras utama.

“Sementara ‘Jiwa Merdeka’ menzahirkan kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam menginterpretasikan semangat patriotik melalui aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi seterusnya membentuk kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni serta progresif,” katanya.

Bagi memenuhi takwim sambutan HKHM, katanya Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 akan diadakan pada 13 Julai ini.

“Signifikan majlis pelancaran ini adalah bagi mengira detik menuju sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada 31 Ogos di Putrajaya. Seterusnya, momentum kemeriahan dan semangat patriotik akan terus disuburkan hingga sambutan Hari Malaysia 2024 pada 16 September di Sabah,” katanya.

Beliau berkata, Inisiatif Satu Rumah Satu Jalur Gemilang terus dijayakan, bagi menterjemahkan semangat patriotik dalam diri dan ahli keluarga kita.

“Hiasilah rumah dengan bendera yang menjadi identiti kita di seluruh pelosok dunia. Namun kibarkanlah Jalur Gemilang yang cukup sifatnya, tidak koyak, tidak uzur dan tidak lusuh kerana bendera ialah gambaran diri kita sebagai warganegara yang bertanggungjawab,” katanya.

Fahmi juga berharap semua pihak memaparkan dalam semua medium komunikasi logo HKHM 2024 bagi menggelorakan semangat menuju sambutan Hari Kebangsaan pada Ogos dan berterusan hingga sambutan Hari Malaysia pada September nanti.

Dalam pada itu, beliau berkata, peranan media juga amat penting dalam menyemarakkan sambutan HKHM dengan menyiarkan kandungan berita dan program yang bersesuaian dengan tema sambutan di platform masing-masing.