[vc_row][vc_column][vc_empty_space][vc_single_image image=”25583″ img_size=”full” alignment=”center”][vc_column_text]KANGAR: Sejak 30 tahun lalu, Abdul Aziz Shaari, 60 tidak akan ketinggalan menghiasi setiap sudut persekitaran kediamannya di Kampung Santan, di sini dengan kibaran Jalur Gemilang.
Jiwa patriotik pesara kerajaan itu masih tebal turut menghias motosikal dan basikal antiknya dengan Jalur Gemilang, malah dia sendiri akan bersama isterinya, Ku Habsah Ku Abd Rahman, 55 bersiar-siar sekeliling kampung dengan kenderaan itu.
Abdul Aziz atau lebih dikenali dalam kalangan penduduk kampung sebagai Abang Aziz berkata, jiwanya terasa seakan kosong sekiranya tidak menghiasi laman rumahnya dengan kibaran Jalur Gemilang dan juga bendera Perlis sebagai tanda patriotik terhadap negara menjelang sambutan Hari Kebangsaan yang ke-66 tahun ini.
“Setiap kali tibanya bulan kemerdekaan, saya pasti akan menghiaskan laman rumah saya dengan kibaran Jalur Gemilang dan saya sudah lakukan perkara ini selama 30 tahun sejak saya dan keluarga tinggal di rumah lama kami di Jejawi dulu.
“Amalan ini kemudian saya teruskan di kediaman baru saya di Kampung Santan ini kerana sekiranya saya tidak memasang atau mengibarkan Jalur Gemilang di sekitar kediaman saya, ia akan membuatkan jiwa saya berasa seperti kosong dan sunyi seolah-olah roh kebangsaan itu tidak pernah wujud dalam diri saya.
“Di kediaman saya ini, sekitar 100 Jalur Gemilang dan bendera negeri Perlis pelbagai saiz sudah saya kibarkan dengan dibantu ahli keluarga saya termasuk isteri,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Santan, di sini semalam.
Bekas kakitangan Jabatan Penerangan Negeri Perlis itu berkata, semangat untuk mengibarkan Jalur Gemilang itu tidak hanya terhad kepada pemasangan bendera di sekitar kawasan rumahnya sahaja malah, dia turut menyediakan informasi mengenai asal usul Jalur Gemilang selain mewujudkan koleksi gambar bersejarah berhubung Hari Kemerdekaan negara dan Hari Malaysia di pondok santainya yang diberi nama ‘Pondok Merdeka’.
“Bila kita kibarkan Jalur Gemilang ini secara tidak langsung, masyarakat sekitar pun tertarik dan ikut dengan usaha yang kita lakukan ini dan dalam masa yang sama juga ia dapat menyemarakkan lagi bulan kebangsaan pada waktu ini.
“Dari kecil lagi apabila saya melihat Jalur Gemilang berkibar, maka jiwa saya menjadi semangat dan ia juga membuatkan saya lebih menghargai usaha kemerdekaan yang kita kecapi ini menerusi perjuangan tokoh kemerdekaan terdahulu,” katanya.
Dia berkata, usaha mengibarkan Jalur Gemilang tidak hanya terhad dilakukan pada laman rumahnya sahaja sebaliknya, dia turut menghiaskan motosikal dan basikal antiknya dengan pemasangan Jalur Gemilang untuk tujuan yang sama.
“Diharapkan usaha yang saya lakukan ini dapat dijadikan semangat buat generasi baru untuk lebih menghargai kemerdekaan yang kita kecapi pada waktu kini,” katanya.
Bagi memeriahkan bulan kebangsaan ini, Abdul Aziz dan Ku Habsah turut dibantu anak dan menantunya dalam menghiasi kibaran Jalur Gemilang di sekitar kediamannya.
[/vc_column_text][/vc_column][/vc_row]