BERITA HARIAN (6 OKTOBER 2024) MENYAMAR GUNA TAKTIK ‘DEEPFAKE’ MAKIN JADI TREND, MASYARAKAT DIGESA WASPADA – FAHMI

Category: Liputan Berita 2024

KANGAR: Penipuan menggunakan penyebaran video dan imej palsu atau ‘deepfake’ yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan menyamar menjadi tokoh tertentu semakin menjadi ‘trend’ di negara ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata masyarakat perlu berwaspada dengan taktik penipuan yang menyalahgunakan teknologi terkini ini.

“Kita sudah lihat penyalahgunaan teknologi AI ‘deepfake’ ini apabila wujudnya video menggunakan imej tokoh seperti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pelbagai pemimpin terkenal termasuk penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk memperdaya orang ramai.

“Jadi, apa pun kita mesti sahkan dahulu akaun (media sosial) tokoh ini sama ada rasmi atau sekadar akaun palsu yang cuba menyamar menjadi tokoh atau pemimpin berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kita MADANI Peringkat Negeri Perlis di Dewan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis, di sini hari ini.

Fahmi menegaskan, penyebaran maklumat salah atau tidak benar dalam talian berkemungkinan dilakukan individu yang mempunyai tujuan jahat.

“Mutakhir ini, kita lihat pelbagai video (menggunakan tokoh dan pemimpin tertentu) diedit untuk agenda tersembunyi dan pelakunya mungkin adalah seorang ‘scammer’ atau individu yang cuba mengambil kesempatan melalui situasi yang berlaku dengan menanamkan kecurigaan terhadap masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, media arus perdana perlu memainkan peranan menyebarkan berita yang sah sebagai cara semak dan imbang terhadap sesuatu informasi.

“Kita (media) mesti selalu menyemak terlebih dahulu kesahihan apa jua maklumat yang dihantar menerusi media sosial dan saya lihat media kini mampu memainkan peranan berkenaan dengan lebih efektif,” katanya.

Terdahulu, Fahmi hadir menyaksikan pelbagai aktiviti termasuk pertandingan memasak dan mewarna yang dilaksanakan oleh Komuniti MADANI dari seluruh Perlis.