PUTRAJAYA: Julina Johan dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) yang baharu, berkuat kuasa hari ini.
Menurut Bahagian Media dan Komunikasi Korporat JaPen dalam satu kenyataan, hari ini, Julina adalah Ketua Pengarah yang ke-19 jabatan itu serta wanita kedua dilantik menerajuinya sejak agensi terbabit ditubuhkan pada 1945.
Sebelum ini, anak kelahiran Johor berusia 53 itu memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) JaPen pada 2023.
Memiliki Ijazah Sarjana Komunikasi Korporat daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Julina yang memulakan karier sebagai penjawat awam pada 1996 mempunyai pengalaman luas dalam bidang perhubungan awam kerajaan dan komunikasi strategik.
Beliau pernah berkhidmat di beberapa kementerian, termasuk Kementerian Pendidikan; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Wilayah Persekutuan; Kementerian Kewangan serta Jabatan Perdana Menteri.
“Melalui pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki oleh beliau, diyakini akan dapat memperkasakan urus tadbir serta meneruskan kecemerlangan JaPen,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA