[vc_row][vc_column][vc_empty_space][vc_single_image image=”2752″ img_size=”full” alignment=”center”][vc_column_text]LANGKAWI, 18 Jan — Digi Telecommunications Sdn Bhd kini dalam proses perbincangan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi mengetengahkan pengalaman pelancongan maya berteknologi 5G di kawasan tarikan pelancong yang berpotensi di pulau ini.
Ketua Strategi Rangkaiannya, Cham Yin Gee memberitahu Bernama, terdapat banyak lokasi menarik di Langkawi yang boleh diterokai seperti aktiviti memberi makan kepada helang di Kilim Geopark dan Air Terjun Telaga Tujuh.
“Teknologi ini akan membolehkan pengunjung, khususnya pelancong asing menyaksikan sendiri apa yang boleh mereka nikmati di kawasan tarikan itu dan seterusnya memilih untuk melawat kawasan terbabit,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK), Kedah, hari ini.
Digi telah bekerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Bhd dan Panorama Langkawi bagi kemudahan pengalaman pelancongan maya sebenar 5G di lapangan terbang itu.
Malah, sebuah gondola kereta kabel zon pengalaman realiti maya (VR) turut ditempatkan di LGK untuk membolehkan pengunjung menikmati pengalaman pelancongan maya generasi seterusnya menerusi pemandangan 360 darjah Gunung Machinchang secara penstriman langsung dari lokasi sejauh 20 kilometer menerusi kamera ditempatkan di stesen pertengahan Langkawi SkyCab.
Perjalanan kereta kabel itu adalah yang paling curam di dunia pada jarak 708 meter dari paras laut.
Paparan tersebut adalah sebahagian daripada kes kegunaan kendalian Digi dalam Projek Demonstrasi 5G (5GDP) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi memberi kemudahan, membangunkan dan menerapkan kes kegunaan 5G secara langsung namun dalam persekitaran terkawal.
Cham berkata menerusi 5G, para pengunjung juga boleh mendapatkan maklumat keadaan cuaca dalam masa sebenar di pelbagai lokasi pelancongan.
“Selain itu, kemudahan 5GDP akan turut disediakan di Pulau Pinang dan kami pasti membawa teknologi pelancongan maya DiGi ke sana,” katanya.
Kedah dan Pulau Pinang adalah antara enam negeri yang dipilih bagi tapak demonstrasi untuk menguji bagaimana rangkaian komunikasi ultra pantas dapat diguna pakai dalam aspek pembuatan, pelancongan dan aplikasi bandar pintar.
Negeri lain ialah Perak, Terengganu, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Esok, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual merasmikan projek demonstrasi 5G Malaysia di Langkawi yang membabitkan 11 kes kegunaan teknologi itu secara langsung di Pusat Kawalan 5G, Hospital Sultanah Maliha dan LGK.
Antara syarikat telekomunikasi yang mengambil bahagian dalam projek demonstrasi itu ialah Telekom Malaysia Bhd, Celcom Axiata Bhd, Maxis Bhd, U Mobile Sdn Bhd dan Edotco Malasia Sdn Bhd.
— BERNAMA[/vc_column_text][/vc_column][/vc_row]