FAHMI LANCAR 8 KOD ETIKA WARTAWAN MALAYSIA – BEBASNEWS

Category: Liputan Berita 2024

PUTRAJAYA — Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil hari ini melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia yang diharap akan terus memacu media Malaysia sebagai sumber dipercayai rakyat dalam memberi maklumat tepat dan sahih mengenai keadaan semasa negara.

Beliau berkata, kod etika berkenaan yang menggarap lapan etika adalah versi baharu yang diteliti semula oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) untuk menggantikan kod yang telah diguna pakai sejak 35 tahun lalu.

“Pihak media berperanan penting sebagai mata dan telinga yang boleh dipercayai dalam memberikan maklumat tepat dan sahih tentang keadaan semasa negara. Kod etika ini akan terus memacu media di Malaysia sebagai sumber yang dipercayai rakyat,” katanya ketika berucap melancarkan kod itu.

Sebelum ini, Etika Kewartawanan Malaysia yang diterbitkan oleh Malaysian Press Institute (MPI) pada tahun 1989 menjadi rujukan utama JaPen bagi pengurusan KPM JaPen.

Lapan etika berkenaan adalah wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk; wartawan hendaklah telus dan berintegriti; dan wartawan digalakkan berlaku adil dalam menyampaikan informasi.

Etika lain adalah pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi; kesahihan dan ketetapan maklumat dan wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber.

Wartawan juga perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka, dan wartawan perlu memberi keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan.

Menurut Fahmi, Kod Etika Wartawan ini telah dimurnikan dengan penglibatan wakil wartawan serta organisasi media agar dapat mengambil kira peranan pengamal media tanpa mengganggu gugat, mengongkong atau menyekat kebebasan bersuara wartawan dalam membuat pelaporan.

“Namun demikian, tidak ada kebebasan yang mutlak bagi manamana individu atau organisasi untuk membuat kenyataan yang tidak benar. Dalam konteks ini, undang-undang sedia ada memadai untuk memastikan ketenteraman awam tidak terancam.

Justeru, pihak wartawan dan organisasi media perlu bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat yang sahih. Wartawan juga berperanan menyuburkan kemakmuran serta keharmonian yang didukung melalui nilai Malaysia MADANI,” katanya.

Kod etika ini turut digunakan sebagai sumber rujukan bagi pengurusan Kad Perakuan Media (KPM) JaPen.

KPM merupakan dokumen pengenalan diri pengamal media daripada agensi media yang diperakukan oleh kerajaan bagi memudahkan urusan liputan acara rasmi.

Seiring dengan evolusi industri media, kod etika tersebut dikemas kini dan menjadi panduan oleh semua pemegang KPM JaPen dalam melaksanakan tugas demi mendukung pembentukan masyarakat yang berinformasi.

Setakat 16 Februari 2024, seramai 9,750 pengamal media berdaftar dengan Kad Perakuan Media JaPen, melibatkan 152 agensi media, empat daripadanya Media Rasmi Kerajaan, 38 Media Tempatan, 60 Media dalam Talian dan 50 Media Antarabangsa.

Bercakap kepada media kemudiannya, Fahmi berkata JaPen berhak membatalkan KPM kerana mereka merupakan badan yang mengeluarkan kad perakuan media.

Fahmi mengulas pertanyaan sama ada tindakan tersebut boleh dibuat di bawah kod etika wartawan itu.

Sementara itu, Fahmi berkata JaPen akan meneliti aduan serta isu yang melibatkan pematuhan etika kewartawanan.

Katanya kod etika itu menjadi garis panduan untuk memberi ataupun menarik balik KPM daripada wartawan dan pengamal media.