Kuching: Hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak kini berada pada tahap yang amat baik, berlandaskan kerjasama erat serta kesefahaman antara kedua-dua pihak, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, kemajuan besar dalam penyelesaian isu-isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menjadi bukti kukuh terhadap usaha bersama yang dibina atas asas perpaduan dan keharmonian.
“Kita faham bahawa kita akan lebih kuat bila kita bersama dan kita pun sedar dalam tempoh yang agak singkat dalam dua tahun kebelakangan ini, jumlah perkara yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 paling banyak diselesaikan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Permukiman Komuniti Madani Sarawak 2024 di sini, hari ini.
Beliau berkata, pencapaian ini menunjukkan komitmen kukuh kedua-dua pihak untuk memastikan keadilan dan kesejahteraan rakyat Sarawak sentiasa diutamakan.
FAHMI-HUBUNGAN 2 (AKHIR) KUCHING
Fahmi berkata hubungan baik ini perlu dipelihara daripada sebarang anasir negatif yang berpotensi menimbulkan bibit-bibit perpecahan.
Beliau meminta masyarakat agar tidak terpengaruh dengan cubaan pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menimbulkan provokasi di media sosial untuk melaga-lagakan antara Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
Menerusi peruntukan RM10,000 kepada setiap komuniti MADANI, Fahmi berharap program-program penyatuan dapat diperluas bagi menyebarluaskan semangat perpaduan dari peringkat akar umbi.