[vc_row][vc_column][vc_empty_space][vc_single_image image=”24971″ img_size=”full” alignment=”center”][vc_column_text]Jelebu: Bukan sahaja dapat melihat kehidupan Orang Asli, tetapi juga berpeluang menikmati keindahan alam semula jadi Hutan Simpan Kenaboi (Negeri Sembilan) yang menyimpan pelbagai khazanah warisan turun-temurun.
Setiap detik perjalanan termasuk menjejak Taman Negeri Kenaboi, meskipun ada ketika begitu meletihkan, namun cukup indah dan mempesonakan.
Pengalaman dua hari satu malam berada di sana yang juga destinasi terakhir Program Kembara Media 2023 anjuran Jabatan Penerangan Kementerian Komunikasi dan Digital turut disertai 21 pengamal media lain.
Kami semua menaiki lori Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Kampung Chennah, Jelebu dan perjalanan yang bermula jam 2:30 petang itu amat mencabar, melalui jalan berliku dan berbukit-bukau untuk sampai ke puncak.
Mujur juga cuaca agak baik sepanjang perjalanan. Sesekali kedengaran ranting pokok yang patah dilanggar lori, berselang-seli dengan dengan hentakan kuat tayar lori apabila melalui jalan berbatu, membuatkan ada antara kami berpaut kepada tempat duduk untuk mengelakkan daripada terjatuh.
Dalam perjalanan ke Taman Negeri Kenaboi, kami dibawa singgah ke perkampungan Orang Asli Kampung Tohor.
Kehadiran kami disambut meriah oleh penduduk kampung dari suku kaum Temuan yang turut memberikan kalung kepala yang dianyam daripada daun kelapa untuk setiap peserta.
Selain diraikan dengan tarian sewang iaitu amalan tradisi masyarakat di situ, kami turut berpeluang mencuba aktiviti menyumpit, melihat cara anyaman daun kelapa serta pameran pelbagai herba asli oleh penduduk kampung antaranya akar kacip fatimah dan akar racun.
Kami turut bertuah kerana dapat menyaksikan adat perkahwinan masyarakat Orang Asli Temuan dan pasangan mempelai yang diperkenalkan, baharu seminggu melangsungkan perkahwinan.
Pasangan mempelai bersanding di pelamin yang dihias dengan anyaman daun ketupat serta bunga-bungaan. Turut disediakan hantaran yang mengandungi cincin rotan, daun sirih serta daun rokok.
Tok Batin kemudian memakan daun sirih sebagai tanda pasangan sudah sah sebagai suami isteri dan pasangan pengantin pula meletak tangan di bahu antara satu sama lain dan menyuap sirih untuk dimakan.
Menurut adat masyarakat Orang Asli Temuan, ia simbolik sebagai tanda perlu ada kesepakatan dan persefahaman antara suami isteri dalam melayari bahtera rumah tangga.
Setelah hampir 45 minit di kampung Orang Asli, kami meneruskan perjalanan ke Taman Negeri Kenaboi.
Sebaik tiba di lokasi, kami diberikan taklimat oleh Penolong Pengarah Taman Negeri Kenaboi, Nur Ainina Khairunnisa Othman, sebelum dibawa ke tapak perkhemahan yang terletak berhadapan tebing sungai.
Rasa lelah seharian beransur hilang melihatkan suasana damai persekitaran khemah. Bagi pencinta alam semula jadi yang rindukan suasana hijau hutan sekeliling, udara segar disusuli sesekali bunyi unggas dan cengkerik, lokasi ini antara yang wajib dikunjungi.
Menurut Nur Ainina Khairunnisa, lokasi berkenaan satu-satunya taman negeri yang berada di bawah kelolaan Jabatan Perhutanan Negeri dan ia terletak dalam kawasan Hutan Simpan Kenaboi di daerah Jelebu. Hutan simpan ini yang terbesar di Negeri Sembilan dengan keluasan 9,045 hektar.
“Hutan ini dijaga rapi dan sebab itu pengunjung yang datang boleh merasai kenikmatan alam di hutan belantara ini. Sebelum dijenamakan menjadi taman negeri, ia dikenali sebagai Taman Alam Liar negeri yang diwartakan bagi melindungi hidupan liar di sini.
“Jabatan Perhutanan Negeri menerima peruntukan menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan tempat ini dibangunkan dengan kemudahan seperti dewan, surau, kantin serta dewan kuliah bagi keselesaan pengunjung,” katanya.
Menurut beliau, untuk masuk ke dalam Taman Negeri Kenaboi dengan jarak perjalanan kira-kira 48 kilometer dari pekan Jelebu, pengunjung digalakkan menggunakan kenderaan pacuan empat roda berikutan laluan jalan yang mencabar.
“Keistimewaan di sini selain tapak perkhemahan yang menghadap anak sungai, pengunjung dapat merasai ketenangan dan melihat sendiri tarikan rama-rama kebangsaan atau Rajah Brooke,” katanya.
LORD OF THE RINGS MALAYSIA
Program keesokan harinya membawa kejutan yang membuatkan kebanyakan kami berasa begitu teruja.
Kira-kira 45 minit dari tapak khemah kami bermalam, terdapat satu lokasi ekopelancongan yang cukup indah yang diberi jolokan Lord of The Rings Malaysia, terletak di Jeram Berungut.
Biarpun jalan untuk menuju ke lokasi menuntut kekuatan mental dan fizikal kerana perlu melalui cabaran merentasi anak sungai yang deras dan batu-batuan yang licin, namun segalanya amat berbaloi apabila kami akhirnya berjaya sampai ke destinasi.
Terbentang di hadapan kami panorama yang menakjubkan dan benarlah pengunjung akan berasa seolah-olah berada di tapak lokasi penggambaran filem fantasi epik itu yang dijalankan di New Zealand.
“Di sini pengunjung akan disajikan dengan pemandangan yang sangat cantik dengan kawasan kiri dan kanan ada batu berlumut hijau seperti dua dinding besar dengan sungai berada di tengah-tengah. Selain itu terdapat air terjun berdekatan yang mengalir deras.
“Namun untuk ke sini (Jeram Berungut) hanya mereka yang berumur 12 tahun ke atas sahaja dibenarkan. Juru pandu dari Jabatan Perhutanan disediakan untuk membawa pengunjung ke lokasi ini dan mereka akan memberi penerangan sepanjang perjalanan di persekitaran laluan,” kata Nur Ainina Khairunnisa, dengan menambah peserta perlu memakai jaket, tali keselamatan serta kasut yang sesuai.[/vc_column_text][/vc_column][/vc_row]