HEBAHAN JABATAN PENERANGAN DIPUJI PM

Category: Liputan Berita 2020

[vc_row][vc_column][vc_empty_space][vc_single_image image=”8590″ img_size=”full” alignment=”center”][vc_column_text]Kuala Lumpur: Langkah Jabatan Penerangan membuat hebahan awam menerusi pembesar suara di van untuk menjelaskan langkah perlu diambil di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dipuji Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menyifatkan penjelasan diberikan Jabatan Penerangan itu membantu proses saringan Covid-19 berjalan lancar dalam jumlah keadaan yang ramai.

Menurutnya, usaha Jabatan Penerangan itu melancarkan lagi tanggungjawab petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain pihak keselamatan.

“Pagi ini, saya berkesempatan turun ke Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi di Sepang bagi melihat sendiri proses ujian saringan Covid-19 dilakukan ke atas penduduk di situ.

“Saya juga tertarik dengan khidmat Jabatan Penerangan yang menguar-uarkan langkah perlu diambil penghuni seperti bila perlu turun serta apa perlu dibawa yang dihebahkan melalui pembesar suara van jabatan itu.

“Langkah ini dilihat amat membantu dalam usaha pihak kesihatan dan keselamatan memastikan proses saringan berjalan lancar dalam keadaan jumlah kehadiran yang ramai,” katanya menerusi hantarannya di akaun Facebook (FB) beliau, hari ini.

Muhyiddin berkata, sejurus tiba di lokaliti PKPD itu pada 8.45 pagi, beliau diberikan taklimat oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman mengenai latar belakang kawasan Medan 88 itu.

Perdana Menteri berkata, Dr Sha’ari turut memberikan taklimat mengapa PKPD diputuskan dilaksanakan di lokasi yang menempatkan pelbagai premis perniagaan itu.

“Saya difahamkan PKPD dibuat selepas 113 individu di mana sebahagian besarnya dari Sabah disahkan positif virus itu selepas saringan dilaksanakan bermula pada awal Oktober lalu.

“Kadar positif juga tinggi, iaitu 35.4 peratus. Dianggarkan sekitar 500 orang penghuni mendiami kawasan itu.

“Medan 88 menempatkan 88 unit kedai tiga tingkat, 284 unit rumah dengan majoriti tingkat atas premis dijadikan bilik sewa dan dihuni oleh individu dari Sabah serta warga asing yang sebahagian besarnya bekerja di kawasan perindustrian di sekitar Sepang,” katanya.

Berdasarkan taklimat Dr Sha’ari, beliau berkata, laluan masuk di sekitar kawasan itu mula ditutup oleh pasukan keselamatan bermula petang semalam dan seluruh kawasan perniagaan itu dipagari dengan kawat berduri.

“Tahniah untuk pasukan keselamatan kita! Usai taklimat, saya dipakaikan peralatan perlindungan peribadi (PPE), satu daripada syarat wajib sebelum memasuki kawasan khemah di mana satu daripada tiga khemah yang dijadikan sebagai tempat ujian saringan Covid-19 ke atas penghuni Medan 88 didirikan.

“Kawasan khemah itu dikategorikan sebagai zon merah. Dari khemah taklimat yang didirikan di tepi jalan utama, iaitu di luar kawasan berpagar, saya berjalan melintasi deretan kedai dan laluan antara bangunan sebelum tiba di khemah ujian Covid-19 yang terletak kira-kira 100 meter.

“Beberapa premis perniagaan dilihat tidak beroperasi manakala sebahagian besar dibuka seperti biasa,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau melihat penghuni sedang berbaris bagi menjalani ujian dan semua dalam keadaan teratur.

Katanya, petugas kesihatan dan keselamatan juga sentiasa berada di sisi penghuni bagi memberikan penerangan atau penjelasan yang diperlukan sebelum ujian saringan dibuat.

“Saya meneliti dengan tekun proses yang dibuat pasukan kesihatan. Mereka banyak berinteraksi dan memberi penerangan selain menenangkan individu yang sebahagian besarnya pertama kali menjalani ujian saringan itu.

“Pada saya, bukan satu tugas mudah untuk ‘mententeramkan’ perasaan individu yang diambil ujian saringan, apatah lagi kepada mereka yang berada di lokasi yang dikategorikan sebagai zon merah. Syabas saya ucapkan!,” katanya.

Menurutnya, dari aspek penyediaan keperluan makanan kepada penduduk yang dikenakan PKPD didapati pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil langkah awal dengan menyediakan 500 bakul makanan untuk diedarkan kepada mereka yang memerlukan.[/vc_column_text][/vc_column][/vc_row]