[vc_row][vc_column][vc_empty_space][vc_single_image image=”3305″ img_size=”full” alignment=”center”][vc_column_text]
KUALA LUMPUR, 3 Feb — Pelbagai jawatankuasa kecil ditubuhkan bagi melengkapkan usaha ke arah penubuhan Majlis Media Malaysia, kata pengerusi jawatankuasa sementara majlis itu Premesh Chandran.
Ketua Pegawai Eksekutif portal berita Malaysiakini itu berkata, jawatankuasa sementara itu mengadakan mesyuarat pertamanya Khamis lepas dan menubuhkan pelbagai jawatankuasa kecil yang diberi tanggungjawab melaksanakan enam prinsip bagi mewujudkan draf undang-undang penubuhan majlis itu.
Beliau berkata mesyuarat itu melibatkan perbincangan menyeluruh berhubung skop majlis media berkenaan, undang-undang yang akan perlu dipinda atau dimansuhkan bagi membolehkan majlis itu dapat bergerak dengan lebih efektif, dan bagaimana menerapkan kepentingan pelbagai pemegang taruh, termasuk industri media, wartawan, kerajaan dan orang ramai.
“Pihak jawatankuasa memahami perspektif berbeza di kalangan semua pemegang taruh, dan juga faham bahawa semua pihak menyokong kewujudan industri media yang profesional, bertanggungjawab dan bebas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata jawatankuasa sementara itu akan kembali bermesyuarat lagi dalam tempoh dua minggu.
Premesh berkata draf rang undang-undang itu akan merangkumi prinsip-prinsip berikut:
- Skop Majlis Media akan meliputi semua bentuk media termasuk media cetak, penyiaran dan dalam taliam, dan akan meliputi media awam dan swasra.
- Majlis Media tidak akan meliputi ucapan individu di media sosial atau blog, di mana sudah ada peruntukan undang-undang lain sedia ada meliputinya.
- Penyertaan dalam Majlis Media akan berdasarkan secara sukarela atau pilihan, perlu ada insentif dan manfaat yang cukup bagi industri media untuk menyertainya.
- Undang-undang membendung kebebasan media atau menghalang amalan kewartawanan yang baik perlu dimansuhkan.
- Majlis Media akan mempunyai kod etika bagi media, di samping prosedur aduan yang teratur.
- Majlis Media ini juga akan mengkaji kemapanan keseluruhan industri media, meningkatkan standard kewartawanan dan celik media.
Jawatankuasa sementara yang mengandungi 17 anggota itu ditubuhkan pada 16 Jan susulan satu mesyuarat oleh kalangan pengamal media ternama negara.
Tempoh dua bulan ditetapkan bagi jawatankuasa itu mengemukakan cadangan satu rang undang-undang untuk penubuhan rasmi Majlis Media itu menerusi Akta Parlimen.
Penubuhan jawatankuasa itu memenuhi satu janji oleh Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto pilihan raya ke-14, yakni bagi membantu ke arah penubuhan sebuah Majlis Media.
Majlis Media Malaysia itu juga akan berfungsi sebagai ombudsman mengenai aduan orang ramai terhadap anggota yang ingkar, di samping memupuk dan menyelaras etika media, menjunjung profesionalisme menerusi penetapan standard, serta memupuk dan menjunjung kebebasan media.
— BERNAMA
[/vc_column_text][/vc_column][/vc_row]