[vc_row][vc_column][vc_empty_space][vc_single_image image=”3941″ img_size=”full” alignment=”center”][vc_column_text]NILAI: Pengurangan kadar tol 18 peratus bagi Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) yang ketika ini dinikmati pengguna membentuk satu persekitaran baharu, yang membolehkan semua pihak berjimat.
Bagi sektor perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan kecil, penjimatan berkenaan sudah pasti dapat mengurangkan kos operasi.
Pengusaha kedai makan, Azrul Nizam Zainal Abidin, 28, berkata pelaksanaan pengurangan kadar tol dapat membantu menurunkan kos dan meningkatkan keuntungan perniagaannya yang berusia empat bulan memandangkan sering kali mengambil bekalan bahan mentah di Gombak, Selangor.
“Laluan digunakan dari Nilai melalui Plaza Tol Nilai, Lebuhraya Utara Selatan Lingkaran Tengah (ELITE) dan keluar di Plaza Tol Jalan Duta. Saya bawa kereta sahaja dan perjalanan ini membabitkan kadar bayaran tol RM10.50, kos tol pergi balik sebanyak RM21.
“Tetapi selepas pengurangan saya hanya bayar RM8.61 sehala dan untuk dua hala sebanyak RM17.22. Sehari saya jimat RM3.78 dan kalau sebulan boleh cecah hampir RM102.06,” katanya kepada Bernama, di sini.
Beliau berkata penjimatan tol berkenaan dilaburkan semula bagi meningkatkan kuantiti jualan termasuk tambahan tiga balang air yang boleh dihidangkan kepada kira-kira 120 pelanggan.
“Biasanya jualan sehari sebanyak 240 set hidangan. Daripada penjimatan tol lebih kurang RM100 ini saya boleh laburkan semula bagi kos pembelian ayam untuk tingkatkan kuantiti jualan sehingga 30 set hidangan sekali dalam sebulan dengan keuntungan kira-kira RM267 secara kasar untuk set hidangan biasa.
“Segelas air harganya RM3.90 dan jika ada penambahan sebanyak 120 gelas, bermakna daripada situ akan jana keuntungan kira-kira RM468 sekali dalam sebulan,” katanya.
Peniaga perabot Mohamad Izzudin Yakub, 33, berkata selepas 21 hari pelaksanaan pengurangan kadar tol ini, nilai yang dapat dijimatkan hampir RM60 untuk perjalanannya pergi dan balik dari Nilai ke Sungai Buloh, Selangor.
“Laluan ini memang laluan utama saya setiap hari untuk uruskan bekalan dan tempahan, saya akan masuk dari Plaza Tol Nilai dan menggunakan Lebuhraya Plus sebelum menuju Lebuhraya ELITE untuk keluar di Plaza Tol Sungai Buloh.
“Kalau ikutkan kadar tol sebelum ini RM9.80, selepas pengurangan kadarnya menjadi RM8.04 dengan penjimatan RM1.76 sehala, jika pergi balik penjimatan sebanyak RM3.52, jadi untuk tempoh 21 hari saya sudah jimat sebanyak RM74 dan kalau sebulan boleh jimat dalam RM105.60,” katanya.
Beliau berkata nilai penjimatan itu boleh dimanfaatkan untuk kegunaan lain antaranya membeli petrol atau menambah nilai kad Touch & Go.
Mengakui pada awalnya merasakan pengurangan 18 peratus itu tidak memberi impak besar, namun apabila dikira secara mingguan atau bulanan, penjimatan yang dicatatkan agak ketara, katanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus kepada kenderaan penumpang, bas dan teksi (iaitu kelas 1, 4 dan 5 bagi Lebuhraya PLUS termasuk Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Utara Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE) serta kenderaan kelas 2, 3, 4 dan 5 bagi Jambatan Pulau Pinang.
– BERNAMA
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/02/658268/kadar-tol-bantu-kurangkan-kos-operasi-peniaga-kecil[/vc_column_text][/vc_column][/vc_row]