LIPUTAN BERITA MKK SEPTEMBER 2024 UTUSAN BORNEO (11 SEPTEMBER 2024) PROGRAM KMJG DILANJUTKAN PENUH MERIAH DI DARO

Category: Liputan Berita 2024

DARO: Semangat kemerdekaan negara terus dihidupkan melalui program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 yang berlangsung dengan meriah di daerah Daro hari ini.

Konvoi KMJG yang disambut dengan penuh semangat ini bertujuan menggalakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat tempatan sambil memupuk perpaduan melalui pelbagai aktiviti bermakna.

Pegawai Daerah Daro Bujang Rahman Seli ketika berucap pada majlis itu menekankan kepentingan menjaga nilai kekitaan dan semangat Jalur Gemilang.

Katanya, walaupun masyarakat memiliki kebebasan membuat pilihan dalam kehidupan mereka namun ia harus disertai dengan tanggungjawab dan keharmonian dalam persekitaran sosial.

“Kalau berkawan dengan orang kerja besi, badan berbau besi, kalau berkawan dengan orang menjual minyak wangi, badan turut bau wangi,” ujarnya.

Bujang turut menekankan tanggungjawab peserta program KMJG dalam menyebarkan ilmu dan informasi kepada masyarakat setempat.

Beliau, menyifatkan Komuniti Madani sangat penting dalam memastikan maklumat mengenai kemerdekaan dan isu semasa sampai kepada semua lapisan masyarakat.

“Kerjasama anda diperlukan kerana anda telah terpilih mengikuti program ini maka kongsikanlah input daripada JAPEN ini terutama perihal kemerdekaan dan isu semasa agar difahami oleh seluruh masyarakat,” ujarnya.

Sementara itu Ketua Penolong Pengarah JAPEN Sarawak Roszilawati Nor Aziz berkata, penganjuran konvoi KMJG 2024 bertujuan menyebarkan mesej kenegaraan dan menguatkan semangat patriotisme, dengan harapan masyarakat di hentian terpilih akan mengibarkan Jalur Gemilang.

“Orang lama tiada masalah sebenarnya dalam menjiwai makna kemerdekaan kerana mereka mungkin melalui fasa mencapai keamanan dan menyaksikan penyatuan bangsa serta melestarikan perpaduan.

“Namun yang perlu diberi perhatian adalah generasi muda untuk ditanam kecintaan terhadap negara yang unik ini.

“Saya juga ingin mengingatkan agar ibu bapa memantau penggunaan media sosial anak-anak kerana ada orang berkepentingan sentiasa berusaha untuk mengeksploitasikan media sosial bagi perkara kurang baik.

“Bersama-samalah kita membendung berita palsu menerusi kerjasama dengan agensi bertanggungjawab seperti JAPEN dan agensi-agensi kerajaan lain,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya memantau penggunaan media sosial di kalangan anak-anak bagi menghindari penyebaran berita palsu dan menggalakkan kerjasama dengan agensi kerajaan dalam membendung isu tersebut.

Dalam pada itu, program KMJG 2024 di daerah Daro turut merangkumi aktiviti penyerahan bendera kepada pemilik premis di Medan Selera Daro, penduduk Kampung Itol serta penanaman anak pokok doa di Masjid Al-Muhsiniin .

Aktiviti tersebut diakhiri dengan penerangan mengenai kegiatan ekonomi rakyat tempatan di Surau Darul Ehsan Kampung Badong, mempromosikan semangat kemerdekaan dan perpaduan di kalangan masyarakat.