MediaMadani: Malaysia Madani: Jiwa Merdeka, tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024

Category: Liputan Berita 2024

“Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka” dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun ini,

Pemilihan tema itu merupakan perlambangan kesepaduan secara holistik negara maju dan progresif menaungi rakyat yang berbilang kaum, bersatu hati serta teguh jati dirinya, jelas Jurucakap bagi Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil pada Majlis Pengumuman Logo dan Temak HKHM 2024 di Putrajaya semalam.

“Jiwa Merdeka menzahirkan kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam menginterpretasikan semangat patriotik melalui aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi seterusnya membentuk kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni serta progresif,” katanya.

Mengenai logo HKHM 2024, Fahmi yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 berkata, Jemaah Menteri telah bersetuju mengekalkan logo yang sama seperti tahun sebelumnya.

Mengenai program sepanjang Bulan Kebangsaan, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi selaku Jawatankuasa Induk HKHM 2024 telah memulakan gerak kerja sambutan itu dengan pelbagai program yang telah dan akan dilaksanakan di seluruh negara.

Beliau turut menyeru rakyat menyemarakkan aktiviti kibar Jalur Gemilang yang disifatkan bertepatan bagi menterjemah semangat patriotik dalam diri serta ahli keluarga.

“Kibarkanlah Jalur Gemilang yang cukup sifatnya, tidak koyak, tidak uzur dan tidak lusuh kerana bendera ialah gambaran diri kita sebagai warganegara yang bertanggungjawab,” katanya.