[vc_row][vc_column][vc_empty_space][vc_single_image image=”2929″ img_size=”full” alignment=”center”][vc_column_text]PUTRAJAYA, 23 Jan — Sistem ujian pemandu kenderaan menerusi ‘e-testing’ akan mula dilaksanakan Jun ini, selepas percubaannya di empat institut memandu di Johor berjaya, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Shaharuddin Khalid.
Melalui sistem e-testing, katanya pengukuran prestasi calon ujian memandu akan dijalankan secara elektronik (automasi) dan keputusan ujian memandu akan dijana secara berkomputer.
“Pelaksanaan ini untuk meningkatkan integriti dan kebolehpercayaan masyarakat terhadap sistem pengujian lesen memandu, serta memudahkan masyarakat,” katanya pada sidang media selepas majlis amanat 2020 bersama warga JPJ, di sini hari ini.
Shaharuddin berkata pelaksanaan e-testing adalah sebahagian daripada usaha digitalisasi di JPJ, selepas kejayaan sistem bidaan nombor pendaftaran kenderaan dalam talian (e-Bidding) yang bermula April tahun lepas, bagi membolehkan pemilik kenderaan membida nombor plat pilihan tanpa perlu ke pejabat JPJ.
Melalui JPJeBid, katanya sebanyak 64 siri telah dilancarkan dengan mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM72.8 juta, katanya.
Shaharuddin berkata antara tumpuan JPJ tahun ini juga adalah melaksanakan perkhidmatan ‘dari pintu ke pintu’ ‘e-Renewal’ iaitu penghantaran DISC Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan lesen memandu melalui penghantaran pos.
“Projek ini dijangka memberikan impak yang besar kepada masyarakat, dengan menyediakan platform untuk mereka melakukan urusniaga secara atas talian sahaja,” katanya.
Beliau berkata ‘Student Management System’ (SMS) juga sedang dirancang untuk dibangunkan sebagai sistem utama pengurusan calon bagi tujuan latihan dan ujian, di institut memandu.
Sistem itu bermula daripada proses pendaftaran calon memandu di institut memandu sehingga kepada pengeluaran lesen memandu, dengan menggunakan sistem mySIKAP sepenuhnya, katanya.
Shaharuddin dalam pada itu berkata Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dilantik sebagai agen pemungut bagi urusan pembaharuan LKM perdagangan.
Menurutnya, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook bersetuju meluluskan pelantikan Puspakom itu di bawah Seksyen 125 Akta 333, dan Kementerian Kewangan meluluskan pelantikan Puspakom sebagai agen pemungut kutipan hasil LKM dengan caj perkhidmatan yang dicadangkan adalah RM2.
Bagaimanapun, katanya pembaharuan LKM hanya melibatkan Kenderaan Perdagangan ‘De-Controlled’ BDM 5,000 kg ke bawah dan tanpa permit.
Beliau berkata Puspakom perlu mematuhi semua prosedur berhubung proses pembaharuan LKM, penyimpanan dokumen terkawal dan penyerahan hasil kepada kerajaan.
“Semua data yang menjadi prasyarat pembaharuan LKM seperti insurans, maklumat pemeriksaan berkala dan permit perlu dihantar ke sistem MySIKAP secara dalam talian sebelum pembaharuan,” katanya.
“Kita percaya melalui pelaksanaan ini, ia mampu meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan kerajaan melibatkan pembaharuan LKM dengan menyediakan pelbagai pilihan saluran bagi memenuhi jangkaan pelanggan masa kini yang menuntut kemudahan perkhidmatan yang efisien, cepat dan cekap,” katanya.
— BERNAMA[/vc_column_text][/vc_column][/vc_row]