SABAH NEWS(25 JUN 2024) KOMUNITI MADANI SABAH PEROLEH GERAN PENTADBIRAN RM657,000

Category: Liputan Berita 2024

KOTA KINABALU, SABAH – Komuniti Madani di Sabah memperoleh geran pentadbiran berjumlah RM657,000 pada tahun ini.

Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Supian Musa berkata terdapat sebanyak 219 badan sukarela Komuniti Madani di negeri ini dan setiap satunya akan menerima RM3,000 sebagai geran pentadbiran dalam akaun masing-masing.

Komuniti MADANI merupakan badan sukarela pelbagai kaum yang ditadbir urus oleh JaPen untuk memupuk nilai-nilai murni dan kenegaraan dalam kalangan rakyat melalui tiga teras utama iaitu membantu pemasaran maklumat kerajaan, mendigitalkan komuniti serta memupuk semangat perpaduan, patriotik dan kenegaraan.

Sementara itu, Pengerusi Komuniti Madani Kampung Likas, Semah Nazirah Adillah Alimat, 62, berkata beliau melibatkan diri dengan Komuniti Madani (asalnya K3P) sebagai satu sumbangan kepada negara tanpa terikat dengan parti politik.

Pada majlis tersebut, Supian menyampaikan 18 watikah penubuhan Komuniti Madani bagi kawasan Sepanggar dan Kota Kinabalu antaranya Komuniti Madani Kampung Kopungit, Luyang, Dah Yeh Villa, Api-Api, Mukim Menggatal, Kampung Kobuni, Kampung Rampayan serta Darau.

Turut hadir, Wakil ADUN Inanam, Rositah Ganggang merangkap Pemimpin Pembangunan Masyarakat N18 Inanam, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi Korporat dan Pembangunan Masyarakat, Peter Tong dan Pegawai Penerangan Daerah Kota Kinabalu, Nur Azean Makbul. — JABATAN PENERANGAN SABAH