SABAHNEWS (29 JULAI 2024) PELEPASAN KONVOI KMJG 2024 DI PENAMPANG 8 OGOS INI

Category: Liputan Berita 2024

KENINGAU, SABAH – Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 akan bermula di Penampang, mulai 8 Ogos ini.

Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata Konvoi KMJG yang dijangka melalui 2,000 kilometer selama 20 hari akan menjelajah ke seluruh daerah di negeri ini dengan membawa mesej kekal bersatu padu demi pembangunan dan kemajuan negeri menjadi lebih progresif.

“Konvoi KMJG pada tahun ini akan mengembara lebih daripada 2,000km pada 8 hingga 26 Ogos bermula di Penampang dan akan berakhir di Kota Kinabalu.

“Kita akan pergi kesemua daerah dengan membawa Jalur Gemilang, kebetulan pada tahun ini Hari Sabah juga akan disambut pada 31 Ogos, jadi kita juga akan membawa bersama bendera negeri Sabah.

Kita juga membawa bersama mesej-mesej perpaduan, keharmonian supaya kita boleh kekal bersatu padu untuk membangunkan negeri kita menjadi lebih progresif.

“Selain itu, rasanya semua sudah sinonim sebab rasanya sudah lebih 20 tahun JaPen melaksanakan KMJG ini dengan membawa misi patriotik menyeru rakyat sama-sama kibarkan Jalur Gemilang di seluruh Sabah, selain menggalakkan masyarakat menyahut kempen Satu Rumah Satu Jalur Gemilang,” katanya ketika menjadi tetamu dalam Santai Bicara di Konti Keningau FM.

Di samping itu, Jainisah turut menggesa seluruh lapisan masyarakat agar bekerjasama dengan Komuniti Madani untuk menggelorakan sambutan bulan kebangsaan.

“Kita harap semua masyarakat yang berada di seluruh Sabah wujudkan kerjasama dengan Komuniti Madani yang juga rakan strategik kita di lapangan untuk menyampaikan maklumat yang sahih seterusnya membantu kita menangani berita-berita palsu.

“Komuniti Madani kita tahu membawa misi yang sama dengan JaPen untuk kita sama-sama menggelorakan lagi semangat untuk menyambut hari kebangsaan dan kita harapkan semangat itu nanti akan berpanjangan bukan sahaja pada bulan kebangsaan tapi juga bulan-bulan yang seterusnya,” ujar beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Janisah turut mengajak masyarakat untuk bersama-sama memeriahkan Karnival Madani Peringkat Negeri Sabah akan diadakan di Membakut pada 8 hingga 10 Ogos depan. — JABATAN PENERANGAN SABAH