SUAMI ISTERI BERSYUKUR BSH, MYSALAM RINGANKAN BEBAN

Category: Infografik 2020

[vc_row][vc_column][vc_empty_space][vc_single_image image=”3690″ img_size=”full”][vc_column_text]

ARAU, 14 Feb  — Sesekali ketika menyiapkan tempahan pintu pagar besi di bengkel usang miliknya, Mansor Puteh, 54, memandang ke arah rumah memerhati isterinya yang berkerusi roda berada di sudut tepi tingkap.

Isterinya, Kalsom Salleh, 55, menjalani pembedahan kanser pipi pada 27 Feb tahun lalu selepas disahkan menghidap penyakit itu pada 2018.

Mansor yang lebih mesra dengan panggilan Pak Chot dalam kalangan penduduk Kampung Kubang, dekat sini antara penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi membantu golongan berpendapatan rendah meneruskan kehidupan mereka.

“Alhamdulillah …dengan duit Bantuan Sara Hidup pada tahun lepas ia  serba sedikit dapat meringankan beban pakcik untuk tampung ‘duit hospital’ (perbelanjaan ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan ) bagi ‘orang rumah’  (isteri)” katanya kepada Bernama sambil mencantum beberapa kepingan besi untuk dijadikan pintu pagar.

Katanya sejak isterinya disahkan menghidap kanser pipi, dia terpaksa menolak banyak tempahan kerana terpaksa berulang alik ke hospital dan turut bergantung dengan wang ihsan BSH dan pemberian daripada anak-anaknya.

Ditanya pemberita adakah dia memohon Skim Perlindungan Kesihatan Nasional (mySalam) yang diperkenalkan kerajaan baru-baru ini, Mansor berkata dia telah menghantar pemohonan bagi mendapat manfaat daripada skim itu pada 3 Feb lepas bagi meringankan bebannya menampung perbelanjaan perubatan isterinya.

“Pakcik tahu mengenai kemudahan mySalam daripada anak sulung yang duduk KL, dia yang ajar pakcik cara untuk membuat permohonan mySalam dan pakcik sediakan ‘surat’ (dokumen) yang diperlukan untuk diproses,” katanya sambil mencapai tuala lusuh yang tergantung di tiang bagi mengesat peluh.

Mansor berkata dia menaruh harapan tinggi supaya permohonannya itu diluluskan yang akan dapat meringankan beban ditanggungnya dengan pendapatan yang tidak menentu sebagai tukang besi.

Kalsom pula berkata walaupun masih belum menerima kemudahan mySalam, dia berterima kasih kepada kerajaan yang peka dengan keperluan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

“Orang macam makcik ni dah tidak boleh buat apa untuk bantu pakcik,  tapi nasib baik kerajaan ada tawarkan bantuan. Makcik harap bantuan mySalam dapat meringankan beban kami sekeluarga bagi menampung kos perubatan makcik,” katanya sambil membetulkan kedudukan di kerusi roda sambil menjenguk ke tingkap memerhati suaminya melakukan kerja-kerja  kimpalan.

Skim Perlindungan Kesihatan Nasional (mySalam) memberikan kelegaan kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) kerana diberikan peluang untuk menikmati wang tunai RM8,000 sekali seumur hidup malah turut menerima elaun hospitalisasi RM50 sehari.

Tuntutan penyakit kritikal bagi penerima BSH adalah sebanyak RM8,000 dan akan diberikan sekali sahaja, manakala bagi golongan berpendapatan sederhana atau M40 atau bukan penerima BSH, mereka akan menerima faedah penyakit kritikal sebanyak RM4,000 (sekali beri) yang akan memberi manfaat kepada lapan juta orang pada tahun ini.

— BERNAMA

[/vc_column_text][/vc_column][/vc_row]