THE MALAYSIA PRESS (14 OKTOBER 2024) JIWA KOMUNITI MADANI FOKUS PEMBANGUNAN MASYARAKAT CELIK

Category: Liputan Berita 2024

KOTA SAMARAHAN – Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) Komuniti Madani menumpukan kepada pembangunan masyarakat yang lebih berpengetahuan dan peka terhadap isu semasa.

Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat berkata kepentingan pendidikan masyarakat dalam menghadapi cabaran maklumat yang sering mengelirukan terutama media digital.

“Dengan memberi kuasa melalui pengetahuan, program ini bertujuan membina masyarakat yang lebih bertanggungjawab dan kompetitif,” ujar Rais.

Tambah Rais, komuniti perlu mengutamakan maklumat sahih dan tepat sebagai asas kekuatan.

“Ini penting untuk menghalang pihak tidak bertanggungjawab yang memanfaatkan teknologi untuk tujuan jenayah,” katanya ketika merasmikan program tersebut di Auditorium INFRA, Kota Samarahan.

Rais juga menegaskan peranan kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan di pelbagai sektor.

“Ini memastikan kesejahteraan masyarakat dalam jangka panjang. Usaha ini penting untuk memenuhi keperluan semasa dan global,” ujar beliau lagi.

Dalam program itu, Rais menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Komuniti Madani Got Talent dan acara diakhiri dengan sesi bergambar, memperkukuh semangat perpaduan.

Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak, Aziz Abdul Rahman; Penolong Pegawai Daerah Samarahan, Hayati Sahari; Pegawai Penerangan Daerah Samarahan, Abdul Latif Shamsuddin; dan Pemanca Masyarakat Melayu Daerah Samarahan, Seli Hassan.