The Malaysian Insight, 20 Sep 2023, Persidangan AMRI ke-20 bermula hari ini,

Category: Liputan Berita 2023

[vc_row][vc_column][vc_empty_space][vc_single_image image=”26320″ img_size=”full” alignment=”center”][vc_column_text]

PERSIDANGAN Menteri-menteri Asean Bertanggungjawab Bagi Maklumat (AMRI) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan kali ke-16 bermula hari ini dengan sesi pleno Mesyuarat Pegawai Kanan Asean yang Bertanggungjawab Mengenai Maklumat (SOMRI) ke-20 di Furama Resort Danang, di Danang, Vietnam.

Sidang Pleno SOMRI pada pukul 9 pagi (10 pagi waktu Malaysia) ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Timbalan Menteri Penerangan dan Komunikasi Vietnam Nguyen Thanh Lam.

Dalam ucapannya itu Lam berkata pada era yang menyaksikan kemajuan teknologi yang pesat dan maklumat tersebar dengan meluas ketika ini, cara orang ramai menggunakan serta berkongsi maklumat berkembang pada kadar cukup pantas, belum pernah dilihat sebelum ini.

“Adalah menjadi kewajipan pegawai-pegawai kanan Asean yang bertanggungjawab mengenai maklumat untuk mengawasi perubahan transformatif ini, berurusan dengan semua pihak berkepentingan dan memberikan syor kepada menteri-menteri Asean yang bertanggungjawab mengenai maklumat,” katanya.

Sesi hari ini turut menyaksikan penyerahan kerusi pengerusi SOMRI daripada Thailand kepada Vietnam.

Sementara itu delegasi Malaysia yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Mohamad Fauzi Md Isa dalam intervensinya berharap perkumpulan itu dapat mengadakan perbincangan dan saling bertukar pandangan yang bermanfaat bagi membincangkan perkara-perkara yang mempunyai kepentingan bersama.

“Kita harap dapat mengadakan perbincangan bermakna dan bekerjasama untuk menambah baik pertukaran maklumat, kerjasama media dan inisiatif komunikasi dalam komuniti Asean,” katanya.

Turut serta dalam delegasi ialah Pengarah Media dan Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan (JaPen) E.Sivabalan, Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia Nur-ul Afida Kamaludin serta pegawai-pegawai kanan lain daripada kementerian dan agensinya.

Pada sesi itu Malaysia telah menawarkan diri untuk menjadi naib pengerusi Kumpulan Kerja Maklumat, Media dan Latihan untuk SOMRI mulai 2023 hingga 2025. Pasukan Petugas ASEAN bagi Menangani Berita Palsu (TFFN) berada di bawah kumpulan kerja ini.

SOMRI selama dua hari bermula sebelum AMRI ke-16, yang akan dibuka secara rasmi pada 22 September. Delegasi Malaysia ke AMRI akan diketuai oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Esok, SOMRI akan diteruskan dengan mesyuarat SOMRI Plus Three, dan mesyuarat SOMRI Plus Japan ke-7.

Dengan tema ‘Media: From Information to Knowledge for a Resilient and Responsive Asean’, mesyuarat SOMRI antara lain memfokuskan pada usaha menangani salah maklumat dan membanteras berita palsu, bagi membina Komuniti Asean yang lebih berdaya tahan dan responsif. – Bernama, 20 September, 2023.[/vc_column_text][/vc_column][/vc_row]