[vc_row][vc_column][vc_empty_space][vc_single_image image=”25042″ img_size=”full” alignment=”center”][vc_column_text]IPOH: Menyemak asas kebenaran sesuatu maklumat dan berita atau Tabayyun perlu diamalkan untuk memastikan penyebaran maklumat khususnya di media sosial dilakukan dengan penuh berhemah dan berintegriti, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, maklumat yang benar dan salah bercampur-baur dalam dunia maya sehingga adakalanya menimbulkan bibit-bibit persengketaan yang mampu menggugat ketenteraman dan keharmonian hidup rakyat berbilang kaum.
Menurutnya, dunia tanpa sempadan menjadikan perkongsian dan penyebaran maklumat dapat dilakukan dalam kiraan detik sahaja.
“Sehubungan dengan itu, pentingnya amalan konsep Tabayyun untuk semak atau periksa sesuatu perkara sebelum disebarkan kepada individu lain.
“Konsep ini secara tidak langsung melatih kita supaya lebih berhati-hati dalam membuat sesuatu kesimpulan.
“Amalan ini relevan untuk memastikan penyebaran maklumat khususnya di media sosial dilakukan dengan penuh berhemah dan berintegriti.
“Sama-samalah kita mengamalkan konsep Tabayyun sekali gus dapat membantu mengekalkan kestabilan negara dan keharmonian dalam kalangan rakyat selain mengelak gejala fitnah,” katanya pada Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Anwar berkata, keharmonian negara harus sentiasa dipelihara tanpa mengira sempadan dan kaum.
Menurutnya, keharmonian perlu terus utuh terutamanya dalam usaha kerajaan merungkai isu-isu pokok yang merundung negara.
Beliau berkata, permasalahan rakyat yang saban hari terpaksa bergelut dengan peningkatan kos sara hidup kini sedang ditekuni secara menyeluruh.
“Untuk itu, dalam membantu rakyat mendepani situasi ini, kerajaan telah mengambil langkah proaktif bagi memastikan kehidupan rakyat berada di tahap yang selesa.
“Kerajaan melancarkan pelbagai inisiatif melalui kerjasama strategik antaranya inisiatif kos sara hidup dan bantuan Sumbangan Tunai Ramah bagi memastikan bebanan rakyat dapat dibantu,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan juga mengambil langkah serampang dua mata untuk menambah pendapatan keluarga miskin tegar dan B40, pada masa yang sama berusaha untuk menyelesaikan masalah ekonomi harian melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).
Kata beliau, sekurang-kurangnya 100,000 peserta daripada isi rumah miskin tegar, miskin dan B40 akan dibantu menerusi inisiatif ini.
“Bak peribahasa Melayu, bagai jawi makan, dimamah dahulu baru ditelan, di mana segala inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan hari ini telah dirancang dengan teliti untuk memastikan tiada rakyat yang ketinggalan dalam mengecapi kesejahteraan dan terus terpelihara kebajikannya,” katanya. – UTUSAN
[/vc_column_text][/vc_column][/vc_row]