Utusan TV: ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ tema Hari Kebangsaan, Hari Malaysia 2024

Category: Liputan Berita 2024

‘MALAYSIA MADANI: Jiwa Merdeka’ telah dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 pada bulan Ogos serta September ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan, mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini juga bersetuju untuk mengekalkan logo Malaysia MADANI bagi sambutan itu bagi tahun kedua berturut-turut.

Beliau berkata, ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ merupakan perlambangan kesepaduan secara holistik negara maju dan progresif, menaungi rakyat yang berbilang kaum, bersatu hati serta teguh jati dirinya.

“Malaysia MADANI merupakan tunjang kemakmuran dan kemajuan negara melalui dukungan enam nilai teras utama.

“‘Jiwa Merdeka’ pula menzahirkan kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam menginterpretasikan semangat patriotik melalui aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi seterusnya membentuk kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni serta progresif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024, hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Kementerian Komunikasi selaku Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia telah memulakan gerak kerja sambutan dengan pelbagai program yang dilaksana di seluruh negara.

Jelas beliau, Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 akan diadakan pada 13 Julai ini.

“Signifikan majlis pelancaran ini adalah bagi mengira detik menuju sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada 31 Ogos di Putrajaya.

“Seterusnya, momentum kemeriahan dan semangat patriotik akan terus disuburkan hingga sambutan Hari Malaysia 2024 pada 16 September di Sabah,” jelasnya.

Selain itu, Fahmi memaklumkan, Inisiatif Satu Rumah Satu Jalur Gemilang turut diteruskan yang disifatkannya bertepatan bagi menterjemahkan semangat patriotik dalam diri dan ahli keluarga.

“Hiasilah rumah dengan bendera yang menjadi identiti kita di seluruh pelosok dunia. Namun kibarkanlah Jalur Gemilang yang cukup sifatnya, tidak koyak, tidak uzur dan tidak lusuh kerana bendera ialah gambaran diri kita sebagai warganegara yang bertanggungjawab,” katanya.