UTUSANTV (10 NOVEMBER 2024) HUBUNGAN KERAJAAN PERSEKUTUAN-SARAWAK PADA TAHAP YANG AMAT BAIK – FAHMI

Category: Liputan Berita 2024

HUBUNGAN antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak kini berada pada tahap yang amat baik, berlandaskan kerjasama erat serta kesefahaman antara kedua-dua pihak, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata kemajuan besar dalam penyelesaian isu-isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menjadi bukti kukuh terhadap usaha bersama yang dibina atas asas perpaduan dan keharmonian.

“Kita faham bahawa kita akan lebih kuat bila kita bersama dan kita pun sedar dalam tempoh yang agak singkat dalam dua tahun kebelakangan ini, jumlah perkara yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 paling banyak diselesaikan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Permukiman Komuniti MADANI Sarawak 2024, hari ini.

Beliau berkata pencapaian ini menunjukkan komitmen kukuh kedua-dua pihak untuk memastikan keadilan dan kesejahteraan rakyat Sarawak sentiasa diutamakan.

“Hubungan yang erat ini jelas terlihat melalui kemesraan dan persefahaman antara Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) dan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Kita sama-sama mahu melihat semua negeri dalam Malaysia berkembang maju dan rakyat memperoleh keadilan,” katanya.

Fahmi berkata hubungan baik ini perlu dipelihara daripada sebarang anasir negatif yang berpotensi menimbulkan bibit-bibit perpecahan.

— BERNAMA